Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man telah menegaskan pendirian partinya tidak akan bersama Kerajaan Perpaduan.

SALAM persahabatan yang dihulurkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim nampaknya tidak disambut dengan baik oleh Pas.

Semalam, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan, parti itu menolak pelawaan untuk menjadi sebahagian daripada Kerajaan Madani yang dipimpin Anwar.

Katanya, Pas tetap istiqamah bersetiakawan dengan rakan-rakan dalam Perikatan Nasional (PN) dan tidak akan mengkhianati janji kepada pengundi.

Dari sudut politik, keputusan Pas itu memang tepat bagi mengelakkan ia menerima nasib sama seperti UMNO yang kehilangan sokongan sebahagian akar umbinya sejak menyertai Kerajaan Perpaduan.

Keputusan enam pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini juga menyaksikan pengaruh Pas semakin mengukuh dalam kalangan orang Melayu dan Islam malah berjaya memancing undi mereka yang selama ini menyokong UMNO.

Hakikat itu mungkin disedari oleh Anwar dan beliau sendiri tidak berselindung mengenai usaha memujuk Pas menyertai Kerajaan Perpaduan seperti yang dinyatakannya dalam wawancara yang disiarkan TIME 11 Oktober lalu.

Sesiapa sahaja yang menjadi Perdana Menteri termasuk Anwar pasti tahu bahawa kerajaan amat memerlukan sokongan orang Melayu dan Islam yang merupakan kelompok majoriti di negara ini.

Walaupun UMNO juga menguasai empat negeri iaitu Pahang, Melaka, Johor dan Perak, kedudukan Pas di Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis yang mempunyai majoriti Melayu yang besar adalah lebih kukuh.

Negeri-negeri yang ditadbir Pas juga amat memerlukan pembangunan namun usaha itu sukar dilakukan sekiranya kerajaan negeri sering berlaga angin dengan kerajaan pusat.

Misalnya, dasar pelaburan yang digubal di peringkat pusat tidak dapat dilaksanakan di peringkat negeri apabila tidak diluluskan oleh kerajaan negeri, lebih-lebih lagi apabila melibatkan kelulusan tanah.

Kerajaan negeri juga tidak mampu bertindak bersendirian untuk berunding dan berurusan dengan pelabur khususnya dari negara-negara luar kerana proses itu agak rumit dan memerlukan kepakaran dalam berdiplomasi.

Kepimpinan Pas sewajarnya menilai tawaran Perdana Menteri itu secara positif memandangkan kerjasama dengan Kerajaan Perpaduan boleh mewujudkan situasi menang-menang kepada semua pihak.

Pelabur asing akan lebih berminat untuk melabur di negara ini apabila situasi politik lebih stabil dan pada masa yang sama, kesan limpahan ekonomi dapat dinikmati oleh rakyat di negeri-negeri.

Sekiranya Pas masih berat hati untuk bersama Kerajaan Madani, Anwar boleh mempertimbangkan untuk memperkenalkan inisiatif seperti memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik seperti yang dimeterai antara kerajaan dan pembangkang ketika era pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dahulu.

Rakyat juga sudah letih dan jemu dengan politiking tidak berkesudahan. Pemimpin-pemimpin politik sepatutnya mengetepikan ego masing-masing dan bersama-sama memberi tumpuan terhadap usaha memulihkan ekonomi negara. – MalaysiaGazette