Home Utama Pemandu lori didakwa rogol anak tiri berusia 10 tahun

Pemandu lori didakwa rogol anak tiri berusia 10 tahun

BUTTERWORTH – Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua tuduhan merogol anak tirinya pada 2018 dan 2019.

Tertuduh berusia 29 tahun itu membuat pengakuan tersebut selepas tuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada tiga cahaya mata itu didakwa merogol anak tirinya yang ketika itu berusia 10 tahun yang mana perhubungan itu tidak dibenarkan di bawah undang-undang, hukum agama atau adat atau kebiasaan untuk berkahwin.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah kediaman di Kampung Bagan Buaya, Changkat, Nibong Tebal pukul 11 malam pada Disember 2018.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa merogol anak tirinya yang ketika itu berusia 11 tahun di lokasi sama pukul 9 pagi pada 2019.

Tertuduh dibenarkan ikat jamin RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan.

Pertuduhan terhadap tertuduh dilakukan di bawah Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara lapan hingga 30 tahun dan hendak juga dikenakan tidak kurang 10 sebatan.

Ketika prosiding Timbalan Pendakwa Raya, Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak tidak menawarkan sebarang jaminan susulan tertuduh tinggal serumah dengan mangsa.

Bagaimanapun, tertuduh memohon jaminan atas alasan perlu menanggung keluarga termasuk tiga anaknya berusia antara lima bulan hingga tiga tahun.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan.

Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan tertuduh tidak boleh mendekati mangsa serta saksi kes selain perlu tinggal berasingan daripada mangsa.

Kes akan disebut semula pada 21 November depan. – MalaysiaGazette