KUALA LUMPUR – Empat adik beradik yang didakwa dihalang ke sekolah kerana tidak memiliki kad pengenalan dan prosesnya belum boleh dibuat kerana mereka tidak memiliki dokumen lengkap termasuk perkahwinan ibu dan bapanya.
Dalam satu kenyataan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendedahkan, pemohon yang merupakan abang sulung kepada empat beradik tersebut iaitu Aziq Fadyan, 24, turut mengemukakan permohonan kewarganegaraan melalui kaedah Pengesahan Taraf Kewarganegaraan tanpa sokongan dokumen yang diperlukan.
Pihaknya mendapati beberapa butiran penting dalam salinan dokumen yang dikemukakan bagi pemohonan tersebut gagal dibaca kerana kabur.
“JPN telah menasihatkan pemohon untuk mendapatkan pengesahan bertulis mengenai butir-butir perkahwinan ibu dan bapa beliau yang berlaku di luar negara daripada kedutaan yang berkaitan terlebih dahulu.
“Setelah peroleh pengesahan dan terbukti perkahwinan tersebut berlaku sebelum kelahiran mereka, pindaan taraf kewarganegaraan pada sijil kelahiran mereka boleh dibuat di JPN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam MalaysiaGazette melaporkan, empat adik beradik itu Aziq, berserta adik-adiknya Azreen Batrisya, 22, Azzahra Batrisya, 12, dan Azalea Batrisya, 9, telah hadir bersama barisan peguam Lawyers For Liberty (LFL) diketuai Zain Malek ke JPN, Putrajaya.
JPN telah menasihatkan adik beradik itu untuk mendapatkan seorang pemohon bertaraf warganegara dalam membuat permohonan Pengesahan Taraf Kewarganegaraan bagi pihak mereka.
Namun kenyataan itu memaklumkan pemohon enggan memberikan kerjasama terhadap nasihat tersebut.
“Justeru adalah mustahil bagi JPN mempertimbangkan permohonan hanya berdasarkan salinan dokumen yang kabur dan tidak dapat dibaca butiran pentingnya. Adalah juga mustahil untuk individu yang belum bertaraf warganegara membuat permohonan kewarganegaraan, bagi adik-adiknya,” katanya.
JPN walaupun komited dalam menyelesaikan isu ini namun menegaskan setiap permohonan taraf kewarganegaraan Malaysia yang dikemukakan akan diterima dan diproses berdasarkan kelayakan pemohon dan ia mesti disokong dengan dokumen atau bukti berkaitan.
“Ini tertakluk kepada peruntukan ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang berkuat kuasa,” ujarnya. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Harap empat adik beradik dapat kad pengenalan segera – Peguam LFL