Zaid Malek yang mewakili empat beradik bergambar setelah selesai mengadakan perjumpaan bersama Jabatan Pendaftaran Negara di Jabatan Pendaftaran Negara, Putrajaya. Foto WAN NABIL NASIR, 19 OKTOBER 2023.

PUTRAJAYA – Peguam yang mewakili empat beradik yang tak dibenarkan ke sekolah kerana tiada kad pengenalan berharap masalah mereka dapat diselesaikan segera oleh Jaabatan Pendaftaran Negera (JPN). 

Zain Malek yang merupakan anggota Lawyers For Liberty berkata,  adik beradik itu telah mengadakan pertemuan dengan pegawai JPN hari ini.

Empat beradik itu telah disoal siasat mengenai diri masing-masing dan asal-usul keluarga mereka.

Mereka datang ke pejabat JPN selepas dipanggil kelmarin bagi membolehkan jabatan itu mendapatkan fakta serta status sebenar situasi tersebut.

Sejurus selepas isu ini kita bawa kepada pengetahuan, kita dapat tahu JPN telah panggil adik beradik ini untuk hadir ke sini hari ini. Sebelum ini kita ada masalah dapatkan borang permohonan namun isu itu juga selesai dan kita telah isi semua maklumat sehabis baik.

“Kita juga telah bercakap dengan para pegawai tentang isu dihadapi oleh empat adik beradik ini jadi saya amat berharap tidak ada lagi pertanyaan berkali-kali tentang bagaimana pemohon-pemohon ini hidup tanpa kerakyatan kerana semuanya telah dijelaskan.

“Tidak guna asyik salahkan ibu bapa mereka dan sukarkan keadaan untuk mereka dapatkan kad pengenalan, kerakyatan mereka.

“JPN sudah temuramah mereka hari ini.Harap perkara ini dapat diselesaikan dengan segera, sekurang-kurangnya cari jalan penyelesaian dan bukan lagi tuding jari,” katanya.

Zaid Malek yang mewakili empat beradik berbincang sebelum perjumpaan bersama pegawai Jabatan Pendaftaran Negara mengenai isu empat beradik sekeluarga yang lahir di Malaysia dinafikan kerakyatan oleh kerajaan di Jabatan Pendaftaran Negara, Putrajaya. Foto WAN NABIL NASIR, 19 OKTOBER 2023.

Sebelum ini, LFL menuntut kerajaan memberikan kewarganegaraan kepada empat beradik yang menjalani hidup sebagai individu tanpa kerakyatan sejak dilahirkan di negara ini.

Penasihat LFL, N Surendran, berkata, empat beradik itu, Aziq Fadyan, 24, Azreen Batrisya, 22, Azzahra Batrisya, 12 dan Azalea Batrisya, 9 telah dinafikan hak mendapat kerakyatan walaupun ayah mereka, Fadil Saharudin merupakan warganegara Malaysia.

Difahamkan perkahwinan ibu bapa adik beradik itu telah dilangsungkan di Indonesia dan Malaysia pada 1998 sebelum kelahiran empat anak mereka.

“Empat adik beradik ini dilahirkan dan dibesarkan di Malaysia oleh bapa dengan kewarganegaraan Malaysia, bukan warganegara mana-mana negara lain kecuali Malaysia. Justeru mereka berhak mendapat kerakyatan,” katanya baru-baru ini.

Surendran juga mendakwa permohonan mereka untuk mendapatkan status warganegara telah ditolak JPN atas alasan tidak munasabah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast