YANGON – Wakil kedutaan Malaysia di Yangon telah menyerahkan telefon bimbit mangsa pemerdagangan manusia yang maut ketika dalam tahanan imigresen di Tachileik minggu lalu, Muhammad Izzat Abdul Wahab kepada keluarganya hari ini.
Abang mangsa, Muhamad Hasmanizam Abdul Wahab berkata, telefon berkenaan diserahkan oleh pihak polis kepada pihak kedutaan Malaysia di Taiciliek selepas kes kematian Izzat dilaporkan.
“Pihak polis menyerahkan telefon kepada pihak kedutaan selepas serahan mayat di Hospital Tachileik. Bagaimanapun telefon berkenaan tidak dapat diakses kerana kata laluan dikunci,” katanya.
Sementara itu, Muhamad Hasmanizam berkata, permohonan untuk membawa pulang jenazah Izzat dilakukan kepada kedutaan Malaysia di Myanmar hari ini.
“Alhamdulillah pihak kedutaan sangat membantu daripada menyambut ketibaan kami semua di Lapangan Terbang Antarabangsa Yangon dan permohonan bawa balik jenazah,” katanya sebak.
Tambah beliau, jenazah Muhammad Izzat akan tiba di Yangon pada malam Jumaat malam untuk dilakukan proses bedah siasat.
Allahyarham Muhammad Izzat, 28, berasal dari Peramu, Kuantan maut dalam tahanan imigresen Myanmar selepas berjaya diselamatkan daripada menjadi mangsa pemerdagangan manusia oleh wakil sebuah pertubuhan kemanusian pada 14 Oktober lalu.
Arwah merupakan anak bongsu daripada lapan beradik meninggalkan seorang balu, Nurul Diyana Mohd Shukri,27, dan dua anak lelaki berusia enam dan empat tahun. – MalaysiaGazette
“Did the embassy’s representative hand over the mobile phone to Izzat’s family?”