KUALA LUMPUR – Netizen mengecam usahawan kontroversi, Datuk Seri Aliff Syukri selepas dituduh mengambil kesempatan ke atas kesengsaraan rakyat Palestin untuk mempromosi tudung jualannya.
Menerusi video yang tular di media sosial miliknya, Aliff kelihatan bersama beberapa individu lain termasuk isteri kepada pengarah terkenal, Syamsul Yusof iaitu Ira Kazar berarak dengan berkaki ayam sambil memegang bendera Palestin dan Malaysia.
Kamera yang dirakam kemudian dihalakan pada wajah Aliff yang kelihatan sedih seolah-olah bersimpati dengan nasib malang penduduk Palestin yang diserang rejim zionis Israel.
Kamera yang turut memaparkan wajah Ira Kazar sedih namun beberapa kali menunjukkan tudung yang dipakainya turut bertukar kepada beberapa corak lain.
Dalam memperjuangkan solidariti untuk mangsa peperangan Palestin, secara halus video tersebut sebenarnya dikatakan juga bertujuan untuk mempromosikan tudung yang digayakan oleh anak kepada pelakon veteran, Kazar Saisi itu.
Dalam ruangan komen, rata-rata netizen berang dan menganggap usahawan tersebut tidak sensitif dengan penderitaan yang dialami penduduk Palestin apabila masih sempat membuat promosi untuk melariskan produknya. – MalaysiaGazette