Ramli Mohamed Yoosuf

KUALA LUMPUR – Seorang lagi suspek yang ditahan untuk membantu siasatan kes pengubahan wang haram melibatkan syarikat penerbangan, MyAirline Sdn. Bhd direman selama lima hari, hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, lelaki berusia 40 tahun itu merupakan pemegang saham sebuah syarikat perdagangan elektronik dan beliau merupakan individu keempat ditahan dalam kes tersebut.

“Permohonan reman ke atas suspek telah selesai pagi tadi dengan bacaan reman di Lokap Berpusat di Jinjang.

“Majistret yang mendengar permohonan polis telah membenarkan suspek direman selama lima hari bermula hari ini sehingga 27 Oktober ini untuk siasatan lanjut kes ini,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN:

Seorang lagi ditahan bantu siasatan pengubahan wang haram

 

Sebelum ini, polis menahan pengasas bersama sebuah syarikat penerbangan, isteri serta anaknya  bagi membantu siasatan 15 akaun bank simpanan mencecah RM5 juta miliknya dibekukan polis.

Sementara itu, Ramli meminta semua pelabur terbabit yang belum membuat laporan agar berbuat demikian dengan menyatakan jumlah pelaburan mereka.

“Laporan ini adalah sangat penting untuk membantu siasatan polis dalam kes ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette