Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ABAC Center of Excellence Sdn Bhd, Zafar Anjum membuat gimik perasmian Sidang Kemuncak Antirasuah dan Antisuapan Antarabangsa 2023 di Mandarin Oriental Hotel, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 24 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Sebanyak dua kes dituduh di bawah Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 sejak dikuatkuasakan pada 1 Jun 2020.

Seksyen 17A Akta SPRM merupakan undang-undang un­tuk mengheret organisasi ko­mersial jika kakitangan terlibat rasuah.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, ia membabitkan kes penyelenggaraan luar pesisir pada pada 2021 dan sebuah syarikat perdagangan pada April tahun ini.

Katanya, Seksyen 17A tidak hanya menyasarkan organisasi semata-mata tetapi individu termasuk ahli lembaga pengarah atau mereka bertanggungjawab dalam entiti tersebut.

“Pengarah, pengawal, pegawai, rakan kongsi atau individu yang berkaitan dengan pengurusan sesuatu organisasi boleh dipertanggungjawabkan secara peribadi melainkan mereka boleh membuktikan mereka tidak bersalah.

“Ini menunjukkan dedikasi kami dalam menegakkan undang-undang dan komitmen tidak berbelah bahagi untuk memerangi rasuah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan International Anti-Bribery Anti-Corruption Summit 2023 (ABAC) di sini, hari ini.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai peruntukan Seksyen 36 Akta SPRM 2009, Azam berkata, ia dilihat efektif bagi pihaknya mendapatkan maklumat berkaitan sumber pemilikan harta terutama membabitkan penjawat awam.

“Kita akan lihat kepada deklarasi dan sekiranya deklarasi itu bercanggah dengan apa yang disiasat, maksudnya seseorang itu boleh dituduh kerana membuat kenyataan tidak benar.

“Keduanya, sekiranya individu itu adalah penjawat awam dan didapati mempunyai harta berlebihan daripada kemampuan, jadi ia satu kesalahan mengikut Seksyen 36(3) yang mana mereka perlu jelaskan punca kekayaan diperoleh,” katanya.

Terdahulu, aktivis memerangi rasuah dan pakar undang-undang menyarankan kerajaan segera melaksanakan beberapa pembaharuan, khususnya mempercepatkan penggubalan akta berkaitan pembiayaan dana politik dan pengisytiharan harta bagi menangani jenayah pengubahan wang haram di Malaysia.

Seksyen 36 Akta SPRM 2009 juga mesti diperkukuh, selain diwujudkan pemantauan dan kawalan ke atas urus niaga mata wang kripto. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast