Ross Ariffin

JASIN – Komposer dan pemuzik terkenal, Ross Ariffin, 61, yang hidup gelandangan lebih tiga tahun lalu kini sedang mencari penyanyi baru untuk lagu ciptaannnya yang ke-65.

Pemilik nama Roslan Ariffin, berasal dari Klebang, Melaka itu yang kini ditempatkan di Rumah Orang Tua, Bukit Larang, di sini, mengakui masih rindu untuk mencipta lagu di sebalik kehidupannya yang tidak semewah dahulu.

Komposer lagu untuk Datuk Seri Siti Nurhaliza, Fauziah Latiff (Gee), Ning Baizura dan Liza Aziz itu berkata, biarpun tidak mampu lagi bergerak aktif akibat serangan strok dan patah tangan kanan, dia nekad untuk kembali aktif.

Ross Ariffin, yang kini ditempatkan di Rumah Orang Tua, Bukit Larang, Melaka mengakui masih rindu untuk mencipta lagu disebalik kehidupannya yang tidak semewah dahulu.

“Jujurnya saya sangat rindukan untuk mencipta lagu walaupun agak sukar kerana pergerakan yang terbatas akibat dua kali serangan strok menyebabkan kemampuan minda juga tidak seperti dulu.

“Namun, perlahan-lahan mungkin lagi dua minggu selepas balutan tangan dibuka saya mampu main piano dan violin untuk hasilkan lagu selama tempoh dua tahun lagi.

“Sebenarnya memang sekarang saya sedang cari penyanyi lelaki baru yang sudah dikenal pasti untuk lagi terbaru saya selepas berjaya mencipta 64 buah lagi yang memenangi pelbagai anugerah sejak 1982,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Datuk Akramuddin Abdul Aziz

Bercerita lanjut, komposer lagu hits Kau Dan Aku nyanyian Ning Baizura dan Dia (Gee) itu berkata, dia rindu untuk aktif dalam dunia seni tanah air selepas diuji sehingga menjadi gelandangan selama lebih tiga tahun.

“Saya hidup sebagai gelandangan di Kuala Lumpur walaupun belajar muzik di London, bermain piano pada umur lapan tahun dan menjadi pengajar akademi muzik di ibu negara.

“Tapi selepas bercerai meninggalkan isteri dan dua anak 10 tahun lalu, itu merubah kehidupan saya sehinggalah ada individu tampil membantu menawarkan saya pindah ke kampung halaman di Melaka dan ditempatkan di rumah jagaan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ini,” katanya.

Sementara itu, Penasihat Rumah Orang Tua Bukit Larang, Datuk Akramuddin Abdul Aziz berkata, JKM Melaka telah meluluskan bantuan kewangan sebanyak RM500 setiap bulan kepada komposer terkenal itu sejak September lalu.

“Malah, saya juga telah berhubung dengan Datuk Siti menerusi Yayasan Nur Jiwa serta Fauziah Latif yang setakat ini mereka bersetuju membantu Ross Ariffin,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast