KUALA LUMPUR – Mengalami cabaran besar dalam dunia pendidikan, pelajar-pelajar di Semporna terpaksa berjuang dengan keterbatasan yang memaksa mereka hanya bermimpi untuk meraih pendidikan.
Ketika anak-anak di sini berharap untuk mencapai cita-cita tinggi seperti menjejakkan kaki di menara gading, beban keluarga dan beban kewangan terasa seperti batu yang menghimpit.
Ada yang merasa tidak layak kerana kelayakan akademik yang kurang, namun sebenarnya punca sebenarnya adalah akses yang terhad ke pendidikan.
Nasib mereka terasa umpama yang sejengkal tiada dapat jadi sehasta. Segalanya menjadi sia-sia, dan mereka merasa bahawa satu-satunya jalan adalah meneruskan pekerjaan keluarga.
Mereka ‘tumbuh’ dalam kesusahan. Masalah asas seperti membaca dan mengira seringkali menjadi dinding yang tidak dapat diatasi, terutamanya di kawasan pedalaman.
Ada yang sudah berumur lima belas tahun tetapi masih tidak mampu membaca. Malah, ada yang telah mencapai darjah enam tetapi tidak dapat mengira satu hingga 20 dalam bahasa Inggeris.
Masalah ini tidak timbul kerana bantuan yang tiada, bukan juga kerana tiada peluang. Ini adalah hasil daripada kurang pengetahuan tentang peluang yang tersedia.
Justeru itu, sejumlah lapan orang peserta dari Fakulti Pendidikan UiTM, yang diketuai oleh penasihat program Dr. Khadijah Said Hashim dan graduan baharu, telah menjalankan misi pendidikan dasar dengan melibatkan pelajar, guru, dan komuniti di beberapa sekolah di sekitar Semporna, Sabah.
Misi ini berlangsung di Kampung Kabogan, Semporna, dari 22 hingga 27 September 2023, dikenali sebagai program ‘EDU Sabah Community Outreach’ (ECO 2023). Program ECO 2023 adalah contoh jelas interaksi pelajar dengan komuniti yang lebih praktikal dan realistik.
Program ini membawa visi institusi pengajian tinggi ke dalam komuniti, berlangsung selama enam hari dengan lawatan ke 6 jenis institusi pendidikan yang berbeza, namun matlamat utamanya adalah memberikan akses kepada pendidikan kepada semua tanpa mengira usia, latar belakang, atau keturunan.
Jelajah ECO 2023 mendapat sambutan meriah daripada pelbagai pihak termasuk komuniti sekolah, para pelajar, guru-guru, pentadbir sekolah, dan komuniti setempat. Antara maklum balas positif, harapan agar program ECO 2023 dan usaha pendidikan serupa dapat diteruskan pada masa depan.
Respons positif terhadap sesi Fun Learning English dan Fun Learning STEM telah meninggalkan kenangan yang manis kepada para mahasiswa UiTM yang kelak akan menjadi pendidik.
SK Kabogan turut mengadakan majlis penutupan dan malam kebudayaan ECO 2023 sebagai tanda penghargaan daripada komuniti dan penduduk setempat. Guru Besar, Kamul Kamarudin terharu dengan pemilihan SK Kabogan sebagai destinasi Program ECO 2023 dan mengakui komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh pelajar Fakulti Pendidikan dalam menjayakan program ini.
Fakulti Pendidikan dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) berharap usaha seperti ECO 2023 dapat diteruskan dengan lebih mantap, memastikan hubungan antara universiti dan komuniti terus diperkukuh untuk kelestarian pendidikan berkualiti yang dapat dinikmati oleh semua. – MalaysiaGazette