MACC logo Seri Iskandar airport land sales Perak
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan akan mendakwa seorang ahli Parlimen di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok atas pertuduhan pengubahan wang haram.

Pendakwaan itu dibuat di bawah Seksyen 4 (1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

Menurut sumber, bekas Ketua Penerangan sebuah parti politik itu dipercayai bakal berdepan dengan lebih 15 pertuduhan dengan nilai wang pengubahan wang haram berjumlah kira-kira RM6 juta.

“Ahli Parlimen ini telah dipanggil ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya hari ini untuk diambil keterangan sebelum dituduh esok,” katanya.

Petang tadi, Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa beliau akan dikenakan satu lagi pertuduhan baharu di Mahkamah Sesyen di sini esok.

Wan Saiful dalam satu posting di Facebook miliknya berkata, beliau diminta hadir ke mahkamah pukul 8.30 pagi esok kerana akan dikenakan pertuduhan bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA).

“Dikatakan bahawa ada pertuduhan-pertuduhan baru yang akan dikenakan di bawah AMLA. Butiran pertuduhan masih belum jelas setakat ini,” tulisnya.

Tambah sumber itu, selain ahli Parlimen tersebut, seorang timbalan ketua bahagian parti politik sama juga akan dituduh atas kesalahan di bawah Seksyen sama melibatkan nilai wang berjumlah kira-kira RM500,000 di mahkamah sama.

“Individu sama juga akan dituduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam lusa bagi menghadapi beberapa pertuduhan dengan nilai lebih RM 3 juta dengan kesemua pertuduhan adalah di bawah seksyen sama,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut namun enggan mengulas lanjut. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Wan Saiful kena dakwa lagi?

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast