KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan difahamkan dikenakan satu lagi pertuduhan baharu di Mahkamah Sesyen di sini esok.
Wan Saiful dalam satu posting di Facebook miliknya mendedahkan beliau diminta hadir ke mahkamah pukul 8.30 pagi kerana akan dikenakan pertuduhan bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA).
“Dikatakan bahawa ada pertuduhan-pertuduhan baru yang akan dikenakan di bawah AMLA. Butiran pertuduhan masih belum jelas setakat ini.
“Saya akan hadir untuk mempertahankan diri dan saya yakin mahkamah adalah tempat terbaik untuk saya mendapatkan keadilan.
“Saya berterima kasih kepada pegawai SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) yang menyoal siasat dengan berhemah,” katanya.
Ketika ini Wan Saiful juga sedang menghadapi dua pertuduhan rasuah melibatkan projek Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) ketika Covid-19 di bawah era Tan Sri Muhyiddin Yassin. – MalaysiaGazette