KUALA LUMPUR – Masyarakat antarabangsa dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) digesa segera melakukan sesuatu untuk menghentikan serta-merta kekejaman rejim zionis Israel di Palestin.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, rakyat Palestin tiada lagi tempat selamat dan mencari bangunan untuk berselindung bagi menyelamatkan nyawa diri dan anak-anak mereka daripada dibunuh tentera Israel.
“Bayangkan sekejap kalau kita berada malam ini di Palestin yang tegang itu digugur sebutir bom dari atas. Sangat sukar untuk dibayangkan kita di sini.
“Rakyat di sana kita berselindung di hospital untuk menyelamatkan diri apabila zionis bersifat tidak berperikemanusiaan.
“Nyawa rakyat Palestin tidak dihargai dan dilayan lebih teruk berbanding binatang,” katanya semasa berucap di hadapan lebih 16,000 orang yang membanjiri Axiata Arena Bukit Jalil dalam Himpunan Malaysia Bersama Palestin yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tambah Mohamad, selepas dijajah dan diserang selama 75 tahun sejak 1948, sebagai kemuncak, kali ini negara kuasa besar memberi sokongan kepada zionis.
“Saya juga mendesak komuniti antarabangsa dan PBB segera mencari penyelesaian tetap dan tindakan menghentikan segera kekejaman tidak berperikemanusiaan ini.
“Ini bukan krisis agama, ini sebenarnya adalah krisis kemanusiaan dan saya ucapkan tahniah kepada Perdana Menteri kita yang menyuarakan suara utuh dan padu melawan kezaliman semasa sidang di Jeddah baru-baru ini.
“Maka saya juga mahu rakyat bersatu dan sama-sama memastikan supaya memberi apa jua bantuan dan sokongan yang mampu kepada rakan kita di Palestin menambah semangat hidup mereka,” ujarnya.
Dalam pada itu, Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu atas pentas yang sama menyifatkan Israel sebagai kumpulan pengganas yang dibawa dari Eropah sebelum merampas dan menjajah tanah Palestin sejak 75 tahun lalu.
Menurutnya, Israel kemudian merampas dan menghalau semua penduduk asal di Palestin serta membunuh mereka secara kejam dan membuka 700,000 penempatan baharu di Tebing Barat.
“Lebih mendukacitakan sekarang dia terlampau biadab dengan sokongan Eropah dan Amerika Syarikat (AS) dan menyerang dan membedil, bangunan dan hospital serta gereja di Gaza.
“Tetapi akhirnya komuniti dunia sudah membuka mata dan bangkit menentang kezaliman Israel dan menyatakan sokongan mereka dari serata dunia antaranya di AS, London, Poland, Brazil, Columbia kepada rakyat Palestin sambil menekan AS dan negara Eropah yang menyokong kekejaman Israel.
“Kebangkitan mutakhir dan mengejut ini pasti akan menyebabkan Israel akan menerima akibatnya tidak lama lagi kepada kekejaman tidak berperikemanusiaan yang dilakukan selama lebih tujuh dekad lalu ke atas rakyat Palestin,” ujarnya.-MalaysiaGazette