Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan ke mahkamah bagi perbicaraan atas dakwaan pertuduhan pengubahan wang haram di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 25 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Tasek Gelugor merangkap Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan mengaku tidak bersalah terhadap 18 pertuduhan berkaitan dengan pengubahan wang haram berjumlah hampir RM6 juta.

Dalam keadaan tenang ketika pertuduhan itu dibacakan dihadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Suzana Hussin, Wan Saiful mengangguk tanda faham kemudian mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Mengikut kertas pertuduhannya, beliau dituduh bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Jika sabit kesalahan beliau boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun dan denda minimum RM5 juta.

Timbalan Pendakwa Raya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Farah Ezlin Yusop Khan telah mencadangkan ikat jamin mengguna pakai kadar yang ditetapkan bagi kes rasuah sebelum ini.

“Wang jaminan kes predikat (rasuah) ialah sebanyak RM400,000 dengan syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

“Juga melaporkan diri di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya sekali bagi setiap dua bulan,” katanya.

Dalam pada itu, peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Wan Saiful berkata, pihak pembelaan tidak membantah cadangan berkenaan.

Suzana membenarkan perkara terbabit dan menetapkan sebutan kes pada 1 Disember depan.

Pada 21 Februari lalu, Wan Saiful yang juga Ketua Penerangan Bersatu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dua tuduhan termasuk menerima rasuah RM6.9 juta berhubung projek Jana Wibawa.

Beliau juga didakwa menerima suapan RM6.9 juta menerusi akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya iaitu WSA Advisory Group Sdn Bhd daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik syarikat Nepturis Sdn Bhd.

Berita lanjut menyusul

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast