Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Seri Abdul Wahab Mat Yassin bercakap kepada media selepas hadir Majlis Pelancaran Bulan Kesiapsiagaan Bencana Tahun 2023 di Kompleks Kuarters Bomba Cheras, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 26 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Orang ramai dinasihat mengelak daripada melakukan aktiviti beriadah di tepi sungai dan kawasan berisiko tanah runtuh sepanjang Monsun Timur Laut antara November hingga Mac 2024.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Seri Abdul Wahab Mat Yasin berkata, pihaknya dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Malaysia akan memantau dan menghalang semua aktiviti rekreasi diadakan sepanjang musim tersebut.

“Saya berharap orang ramai jangan buat aktiviti berkhemah atau mandi di air terjun yang berkemungkinan membawa risiko kejadian kepala air demi mengelak sebarang insiden membabitkan nyawa sepanjang musim Monsun Timur Laut.

“Kawalan ketat ini penting kerana sekiranya berlaku sebarang insiden atau kecederaan membabitkan aktiviti pendakian bukit di hutan ia boleh menyukarkan agensi penyelamat itu sendiri untuk menembusi kawasan itu dan bukan sekadar menyulitkan penganjur aktiviti luar itu sahaja,” katanya pada majlis Pelancaran Bulan Kesiapsiagaan Bencana JBPM 2023, hari ini.

Diminta mengulas mengenai kepala air yang akan menyebabkan banjir, Abdul Wahab menjelaskan, ia bergantung kepada jumlah taburan hujan di sesebuah kawasan.

“Dia hanya boleh menyebabkan banjir di pesisir aliran sungai dan mencetuskan kepala air dan kita cuma risau apabila ada aktiviti beriadah di kawasan air terjun sebagai mana berlaku di beberapa tempat di luar jangkaan sebelum ini.

“Kami juga mengharapkan kerjasama daripada sekretariat di setiap negeri dan juga PBT agar memantau dan jika boleh melarang sebarang pergerakan manusia atau aktiviti berkumpulan sepanjang musim hujan nanti,” ujarnya. – MalaysiaGazette