Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar bercakap kepada media selepas Majlis Perasmian Seminar Peradaban Islam dan Ketamadunan Malaysia (SPIKEM) siri 5/2023 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Selangor. Foto MUHD NA’IM, 26 OKTOBER 2023.

BANGI – Umat Islam diingatkan tidak mengambil pendirian untuk berkecuali mahupun bersikap neutral apabila berdepan dengan isu serangan tentera Israel terhadap rakyat Palestin ketika ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, perkara itu tidak sepatutnya timbul jika mereka seorang warga negara yang bertanggungjawab.

“Kita beri nasihat, kadang-kala isu ini mungkin kita rasa tak libat diri kita, tak libat agama kita, tak libat bangsa kita.

“Kita tidak tahu satu masa nanti kena pada diri kita, warga kita, bangsa kita dan agama kita.

“Jadi ini bukan masa yang sesuai untuk kita kekal neutral,” katanya kepada MalaysiaGazette, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Seminar Peradaban Islam Dalam Ketamadunan Malaysia 2023 anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) di Dewan Sheikh Othman Sarawak, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Hadir sama Dekan Fakulti Pengajian Islam UKM, Prof Madya Dr Ahmad Sunawari Long dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YADIM, Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim.

Sebelum ini, media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa kesal dengan pendirian beberapa negara barat yang dilihat enggan memberikan dukungan kepada isu-isu kemanusiaan di Gaza.

Sebaliknya katanya, Malaysia tegas dengan pendirian supaya segala bentuk serangan ke atas orang ramai, termasuk wanita dan kanak-kanak dihentikan, dan bantuan kemanusiaan disalurkan kepada rakyat Palestin.

Mohd Naim berkata, serangan bersenjata ke atas penduduk di Gaza bukan isu agama, sebaliknya ia menyentuh hak asasi manusia yang dicabuli tentera zionis.

“Sebab itu kita kena lihat secara luas dan ini bukan masanya untuk kita jadi neutral macam itu, berdiam diri dan tidak mainkan peranan, malah kekal neutral macam itu, tak libat.

“Saya rasa sebagai masyarakat dan rakyat yang bertanggungjawab, tanpa melihat kepada agama seseorang itu.

“Isu ini merentasi agama, ia isu kemanusiaan, sepatutnya kita terdetik sebagai rakyat bertanggungjawab.

“Apa yang berlaku di satu negara itu (Palestin) kita patut rasa bertanggungjawab untuk bersuara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast