Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain semasa perhimpunan bulanan PDRM hari ini.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempertingkatkan keselamatan di pintu-pintu masuk negara bagi menangani dan membanteras ancaman jenayah rentas sempadan yang semakin kompleks.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata,  Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman telah mengatur gerak kesemua elemen-elemen di bawahnya secara menyeluruh khususnya meningkatkan keselamatan.

Katanya, Jabatan KDNKA mempunyai peranan yang besar dalam mempertahankan keselamatan dan ketenteraman awam di negara ini bukan bukan sahaja sekadar tertumpu ke arah menjaga keselamatan di darat bahkan turut meliputi ruang udara dan perairan negara.

“Jabatan ini juga telah melancarkan pelbagai operasi bersepadu dengan mengatur gerak aset milik pasukan seperti kereta perisai, unit berkuda termasuklah pemantauan udara menggunakan helikopter dan dron di kawasan sempadan negara untuk memperketatkan lagi kawalan keselamatannya.

“Mengikut statistik terkini, sejumlah 6,476 kes dilaporkan dari Januari hingga September 2023 melibatkan sebanyak 4,356 tangkapan dengan nilai rampasan (barang seludup) keseluruhan berjumlah RM789.99 juta.

“Cawangan Wildlife Crime Bureau/ Perisikan Siasatan Khas telah berjaya juga membuat tangkapan dan rampasan terhadap pelbagai barangan makanan sejuk beku yang dianggarkan bernilai RM21 juta,” katanya semasa menyampaikan amanat Perhimpunan Bulanan di Bukit Aman pagi tadi.

Tambah Razarudin, Briged Tenggara PGA pula telah berjaya merampas 495 kilogram dadah disyaki jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM17.8 juta.

Bagi tempoh Januari hingga September 2023, Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) telah berjaya melaksanakan sebanyak 28 serbuan dengan nilai rampasan sebanyak RM37.3 juta.

“Bagi tempoh Januari hingga September 2023, dalam Op Kontraban melibatkan rokok dan minuman keras tidak bercukai, Pasukan Polis Marin telah berjaya menahan seramai 64 orang melibatkan 110 kes rampasan rokok dan minuman keras tidak bercukai bernilai RM37.1 juta,” katanya lagi. – MalaysiaGazette