Tan Sri Razarudin Husain di Majlis Perhimpunan Bulanan BUkit Aman hari ini.

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menegaskan penyeliaan melalui kaedah pemantauan rapat penting dalam mengecilkan ruang dan peluang berlaku perlanggaran serta salah laku dalam kalangan warga pasukan Polis Diraja Malayia (PDRM).

Kata beliau, langkah itu sangat penting memandangkan penyampaian perkhidmatan yang terbaik adalah keutamaan PDRM dalam menangkis persepsi negatif masyarakat.

“Masyarakat pada masa kini meletakkan satu standard yang tinggi dengan menuntut perkhidmatan kepolisan yang berkualiti daripada polis dalam menjaga keamanan dan ketenteraman di dalam negara.

Razarudi menyampaikan sijil penghargaan kepada pegawai dan anggota PDRM yang mempamerkan perkhidmatan cemerlang dalam Perhimpunan Bulanan di Bukit Aman hari ini.

“Jadi ketegasan dalam penyeliaan melalui kaedah close monitoring atau pemantauan rapat amat penting dalam usaha mengecilkan ruang serta peluang berlakunya pelanggaran salah laku dalam kalangan warga pasukan PDRM,” katanya semasa menyampaikan amanat Perhimpunan Bulanan Warga Bukit Aman hari ini.

Dalam amanat itu Razarudin turut menekankan berhubung Peraturan 3C Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 yang wajar dipatuhi pegawai dan anggota dalam semua peringkat PDRM.

Ujar beliau, semua ketua jabatan, pegawai pemerintah dan penyelia hendaklah bertanggungjawab ke atas anggota polis di bawah seliaan masing-masing tanpa pilih kasih atau berat sebelah.

“Pegawai pemerintah hendaklah bertanggungjawab dan mengambil cakna tentang tingkah laku pegawai bawahan, memberi teguran, membetulkan seterusnya mengambil tindakan terhadap mana-mana pegawai seliaan masing-masing yang
mempamerkan apa jua bentuk perlakuan yang boleh menjejaskan imej PDRM.

“Justeru, saya juga mahu agar semua pegawai pemerintah memulakan pendekatan yang lebih agresif dalam memperkasakan peraturan ini secara menyeluruh ke arah meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.

Tan Sri Razarudin Husain di Majlis Perhimpunan Bulanan BUkit Aman hari ini.

“Bagi memastikan keberkesanannya secara berterusan, arahan ini perlulah disampaikan dalam setiap roll call, perjumpaan serta mesyuarat di semua peringkat sehingga ia dapat diadaptasi serta dihayati seterusnya dibudayakan oleh semua lapisan warga PDRM,” katanya.

Terdahulu, beliau menyampaikan Sijil Penghargaan kepada 46 orang pegawai polis dan pegawai awam dari semua jabatan yang telah menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang perkhidmatan masing-masing.

Beliau mengharapkan penganugerahan terbabit menjadi inspirasi kepada warga PDRM lain untuk terus menabur khidmat bakti dengan cemerlang demi pasukan.

Beliau juga memaklumkan Tabung Kecemasan Solidariti Palestin Masjid Bukit Aman Bersama MyFundAction akan dilancarkan dalam Majlis Perasmian Penutup Karnival Jubli Perak 25 Tahun Masjid Bukit Aman malam ini.- MalaysiaGazette