Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf . Foto WAN NABIL NASIR, 26 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Seorang peguam bersama tiga lagi ahli lembaga pengarah syarikat pelaburan i-Serve yang ditahan semalam untuk siasatan kes pengubahan wang haram  direman mulai hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kesemua empat suspek itu direman antara sehari hingga empat hari.

Katanya, suspek wanita berusia 30 tahun direman empat hari, manakala seorang lagi wanita berusia 33 tahun direman tiga hari.

“Suspek ketiga lelaki berusia 48 tahun turut direman selama tiga hari manakala suspek keempat seorang lelaki berusia 62 tahun yang juga peguam di i-Serve dibenarkan selama sehari untuk disiasat polis,” katanya dalam kenyataan perkembangan terbaharu kes itu hari ini.

Tambah beliau, dalam pada itu suspek utama dalam kes ini seorang pemegang saham perniagaan i-Serve yang ditahan di Bangsar pada 23 Oktober lalu pula telah dilanjutkan reman selama empat hari lagi selepas reman lima hari ke atasnya tamat hari ini.

Kesemua suspek disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Terdahulu, sekitar jam 11 pagi tadi keempat-empat suspek itu dibawa ke Lokap Berpusat Jinjang, untuk proses permohonanan reman bagaimanapun terpaksa dipindahkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur di Jalan Duta.

Mengulas lanjut, Ramli turut menambah, empat suspek yang ditahan semalam dipercayai orang kepercayaan suspek utama dalam menggerakkan operasi beberapa syarikat yang kini disiasat berkait kes pengubahan wang haram.

Semalam, dua wanita dan seorang lelaki ditahan di hadapan Menara KPJ antara jam 1 hingga 1.30 tengah hari manakala suspek keempat seorang peguam i-Serve ditahan di Bukit Tunku, bagi membantu siasatan berkait kes pengubahan wang haram membabitkan syarikat pelaburan i-Serve yang dipercayai mempunyai kaitan dengan pengasas bersama syarikat penerbangan MYAirline.

Dengan penahanan empat suspek terbaharu ini, setakat ini polis telah membuat lapan tangkapan termasuk engasas bersama MYAirline yang bergelar Datuk, berusia 57 tahun. -MalaysiaGazette