MELAKA – Polis berjaya memberkas seorang pelayan bar selepas dipercayai terlibat dalam lapan kes pecah masuk kedai makan mengakibatkan kerugian hampir RM10,000 sejak September lalu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek lelaki berusia 22 tahun itu ditahan kira-kira pukul 10.45 pagi Rabu lalu di kawasan Kota Laksamana.
Menurutnya, tangkapan dibuat susulan kekerapan kejadian pecah kedai di kawasan berkenaan yang dilaporkan sejak bulan lalu.
“Siasatan mendapati, modus operandi digunakan suspek adalah melakukan jenayah itu antara pukul 2 hingga 5 pagi dengan cara memecah tingkap atau mengumpil pintu belakang premis.
“Dengan penahanan suspek, kita berjaya menyelesaikan lapan laporan kes pecah kedai yang diterima sejak awal September lalu melibatkan kerugian hampir RM10,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Christopher berkata, semakan mendapati suspek mempunyai rekod lampau jenayah berkaitan kes curi motosikal dan dadah.
“Suspek direman sehingga Isnin ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya. – MalaysiaGazette