Brigedier Jeneral Ir. Thevendran CS Maniam

KUALA LUMPUR – Semangat juang anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk memelihara, menjaga dan mempertahankan keselamatan negara meningkat apabila kerajaan berusaha menyediakan kawasan perumahan yang selesa kepada keluarga yang mereka tinggal demi tugas.

Ketua Pengarah Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan Pertahanan (BPKP) ATM Brigedier Jeneral Ir. Thevendran CS Maniam berkata, peruntukan penyelenggaraan serta baik pulih Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) memperlihatkan kesungguhan kerajaan dalam mensejahterakan kehidupan anggota tentera dan keluarga mereka.

Katanya Belanjawan 2024 yang memperuntukan 400 juta sebagai tambahan kepada 200 juta yang telah disalurkan tahun lepas untuk warga ATM memperlihatkan kesunggguhan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan dalam menjaga kesejahteraan dan keselesaan hidup warga ATM serta keluarga.

“Kesejahteraan hidup ini merupakan suntikan moral bagi anggota tentera untuk berjuang dan mempertahankan negara kerana tidak perlu bimbang atas kesedaran bahawa keselesaan dan kesejahteraan keluarga mereka terjaga.

“Anggota tentera ini sering ditugaskan di luar kawasan berjauhan dari keluarga demi menjaga keselamatan negara dan sudah tentu harapan mereka agar keluarga yang ditinggalkan berada dalam kawasan perumahan yang kondusif,” katanya.

Tambah beliau, peruntukan yang disalurkan tahun ini kepada BPKP telah digunakan untuk semua projek penyelenggaraan yang dirancang dan akan siap sepenuhnya menjelang akhir bulan November.

“BPKP selaku agensi pelaksana sentiasa komited untuk merancang dan melaksanakan projek pembangunan dan senggaraan agar semua anggota tentera dan keluarga menikmati prasarana yang selesa selaras dengan matlamat ATM.

“Saya percaya kesungguhan kerajaan dan ATM ini akan membangkitkan semangat para wira untuk berkhidmat kepada negara dengan sepenuh komitmen,” katanya.

Selain penyelenggaraan rumah seperti membaikpulih kerosakan dan mengecat bangunan, peruntukan berkenaan juga digunakan untuk kerja-kerja pembetungan, pembaikan jalan dalam kem dan menaik taraf garaj kenderaan serta taman permainan kanak-kanak.

Lt. Kol. (Bersara) Prof. Madya Dr. S. Ananthan

Sementara itu Pengarah Institut Pengajian Eksekutif Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (NIEEd) Lt. Kol. (Bersara) Prof. Madya Dr. S. Ananthan berkata, adalah sangat penting bagi anggota memastikan keluarga mereka terjamin dari segi keselamatan dan kebajikan sebelum meninggalkan rumah untuk berkhidmat kepada negara.

Beliau yakin ATM akan memanfaatkan sepenuhnya peruntukan yang disediakan oleh kerajaan dalam menyediakan kawasan perumahan yang harmoni kepada anggota tentera dan keluarga.

“Pengalaman saya sebagai Pegawai Logistik di Markas Formasi sedia maklum perumahan yang dibina di dalam kem memang cantik dan selesa pada awalnya tetapi tahun demi tahun penyelengaraan perlu dibuat.

“Sama ada ia akan meningkatkan moral atau tidak, sudah pastinya keadaan rumah keluarga yang selesa dan selamat sangat penting untuk anggota merasai diri serta perkhidmatan yang diberikan telah dihargai,” kata Ananthan.
Beliau berkata, pada dasarnya kos penyelengaraan yang paling ideal adalah 5 peratus daripada jumlah kos pembinaan.

Misalnya jika kem itu dibina dengan kos RM100 juta maka sekurang-kurangnya RM5 juta perlu disediakan setiap tahun bagi tujuan penyelenggaraan.

Beberapa anggota yang ditemui mengucapkan terima kasih kepada kerajaan terutama kepada Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan kerana mengambil berat isu penyelenggaraan perumahan ATM.

Peruntukan yang disediakan memberi erti yang amat besar kerana mereka mahu keluarga yang ditinggalkan semasa bertugas tidak menghadapi sebarang masalah dengan rumah atau kawasan sekitar perumahan.

Muhammad Iqbal Fitri Zamri

“Kadangkala ada anggota yang meninggalkan keluarga berminggu-minggu, berbulan-bulan dan ada yang bertahun. Bila rumah dan kawasan perumahan terjaga dan diselenggara dengan baik sudah tentu anggota seperti saya tidak lagi bimbang memikirkan kehidupan keluarga yang ditinggalkan,” kata Muhammad Iqbal Fitri Zamri, 32.

Nurulhuda Zakaria

“Inisiatif yang disediakan kerajaan ini sebenarnya turut membentuk masa depan anak-anak yang tinggal di RKAT. Perumahan yang diselengara dengan baik membolehkan anak-anak belajar dan mengulangkaji dengan selesa, damai dan tidak terganggu,” menurut Pegawai Waran 1 Nurulhuda Zakaria, 39.

Fasehah Sulaiman

“Peruntukan yang disediakan kerajaan sudah tentu dapat menjamin kualiti hidup anggota dan keluarga. Kita mengharapkan kawasan perumahan yang terjaga seperti dinding dicat, tiada atap yang bocor, lif yang berfungsi. Ini semua menentukan kualiti kehidupan kita. Terima kasih kerajaan,” kata Korporal Fasehah Sulaiman, 31.

Untuk rekod Kerajaan memperuntukan sejumlah RM19.7 bilion kepada Kementerian Pertahanan dalam Belanjawan 2024 yang memperlihatkan keazaman bagi meningkatkan kesiapsiagaan aset ketenteraan dan kebajikan anggotanya terjamin.

Peningkatan sebanyak RM2 bilion berbanding peruntukan tahun 2023 dilihat mampu meningkatkan moral dan iltizam anggota pasukan keselamatan negara untuk sentiasa mempertingkat kesiapsiagaan demi kedaulatan tanah air.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast