KUALA LUMPUR – Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York akan mengadakan sesi khas tergempar mengenai konflik Israel-Gaza pada Khamis.
Laman sesawang PBB akan menyiarkan secara langsung Sidang Khas Tergempar ke-10 yang dijangka bermula pada 10 pagi waktu New York (10 malam waktu Malaysia); dan sehingga laporan ini ditulis, 110 wakil telah disenarai untuk membentangkan kenyataan mereka.
Palestin dijangka menjadi pihak pertama untuk menyampaikan ucapan.
Pada Rabu, Majlis Keselamatan PBB gagal meluluskan dua resolusi untuk menangani krisis kemanusiaan.
China dan Rusia menggunakan kuasa veto untuk mengetepikan draf resolusi yang dibentangkan oleh Amerika Syarikat (AS) dan resolusi yang disokong Rusia pula gagal memperoleh undi yang mencukupi.
Draf resolusi Rusia yang menggesa pelaksanaan segera gencatan senjata itu ditolak pada Isnin lepas, dan hari Rabu berikutnya, AS memveto resolusi dibentangkan oleh Brazil yang menggesa “humanitarian pauses” untuk membolehkan bantuan kemanusiaan dihantar kepada jutaan penduduk di Semenanjung Gaza.
Pada Khamis, Kementerian Kesihatan di Gaza dilaporkan berkata, angka kematian rakyat Palestin akibat serangan udara tentera penceroboh Israel di Semenanjung Gaza sejak 7 Okt meningkat kepada 7,028 orang.
Sejumlah 2.3 juta penduduk kehabisan makanan, air, ubat-ubatan dan bahan api, dan konvoi bantuan yang dibenarkan masuk ke Gaza hanya dapat membawa sebahagian kecil bantuan kemanusiaan yang diperlukan. – Bernama