Ribuan rakyat berhimpun bagi menyatakan sokongan dan solidariti terhadap Palestin pada Himpunan 10,000 Solidariti Palestin di Kedutaan Amerika Syarikat, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 28 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR -“Ini bukan peperangan agama antara Yahudi dan Islam, ini penghapusan bangsa,” kata Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang menyifatkan situasi Palesyin semakin tenat.

Lantaran itu, beliau meminta negara-negara barat yang menyokong Israel supaya membuka mata.

“Ini adalah pembunuhan besar-besaran, satu kemusnahan…kamu tahu apa sebenarnya yang berlaku, kamu tahu Israel melanggar undang-undang antarabangsa,” katanya.

Pemimpin pembangkang itu berkata demikian ketika berucap dalam Himpunan 10K Solidariti Palestin anjuran parti politik Pas dengan kerjasama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di ibu negara.

Himpunan itu yang menyaksikan lebih 5,000 peserta turut disertai Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Setiausaha Agung Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Hamzah Zainudin serta Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Terdahulu, ribuan penduduk pelbagai lapisan berkumpul dan berarak dari Masjid KLCC ke Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Jalan Tun Razak, di sini sambil mengibarkan bendera Palestin dan membawa beberapa plakat mengecam kekejaman Israel. – MalaysiaGazette