Ribuan rakyat berhimpun bagi menyatakan sokongan dan solidariti terhadap Palestin pada Himpunan 10,000 Solidariti Palestin di Kedutaan Amerika Syarikat, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 28 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Parti pembangkang mahu perdana menteri membahaskan isu Palestin di Dewan Rakyat, kata Ketua Dewan Pemuda Pas, Pusat Afnan Hamimi Taib.

“Kita mahu membawa usul pembangkang mengenai isu Palestin diterima di Dewan Rakyat sebagai pandangan sebulat suara untuk tidak menyokong tindakan Israel.

“Kita akan usulkan secepat mungkin, kalau boleh pada Isnin ini dan pada masa sama kerajaan juga perlu bertegas menyatakan pendirian mahu Israel keluar dari Palestin,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Himpunan 10K Solidariti Palestin anjuran Pas dan beberapa NGO Islam di Jalan Tun Razak berhampiran Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di sini tengah hari tadi.

Himpunan itu turut disertai Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang, Setiausaha Agungnya Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Presiden Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Presiden Pejuang Datuk Seri Mukhriz Mahathir bersama lebih 5,000 peserta.

Acara itu selesai jam 5 petang.

Afnan menambah, pihak pembangkang juga membuat keputusan untuk menyerahkan satu memorandum kepada Kedutaan AS dalam masa terdekat ini sebagai mesej menyatakan pendirian tegas dan sokongan Perikatan Nasional terhadap Palestin. – MalaysiaGazette