Tangkap layar Ustaz Kazim memberitahu jemaah bahawa kuliahnya ditangguhkan di Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Pejabat Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang tidak pernah mengeluarkan arahan spesifik menghalang mana-mana individu menyampaikan kuliah di masjid serta surau negeri ini.

Datuk Mohamad Abdul Hamid berkata, setiap larangan yang dilakukan berdasarkan garis panduan dan pekeliling yang dikeluarkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAIPP).

Mohamad.

“Jadi pihak masjid dan pejabat agama daerah sahaja yang mengetahui larangan penceramah atau individu yang berkaitan dengan arahan pekeliling tersebut,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Sementara itu, JHEAIPP telah mengeluarkan satu pekeliling penstrukturan semula kuliah dan penganjuran aktiviti ilmu di masjid serta surau negeri ini pada 23 Oktober lalu.

Berdasarkan pekeliling tersebut, Pengarah JHEAIPP, Datuk Zulkifli Rashid memaklumkan semua penceramah dan pengkuliah yang hendak menyampaikan pengajaran di semua masjid dan surau di Negeri Pulau Pinang mestilah memiliki tauliah yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama negeri itu.

“Bagaimanapun, dalam masa sama, penceramah dan pengkuliah yang dijemput itu tidak mempunyai kontroversi terutama berkaitan akhlak, masalah khilafiah, politik kepartian dan seumpamanya.

“Usaha itu dilakukan JHEAIPP bagi memastikan aktiviti majlis ilmu di negeri ini bebas daripada sebarang unsur yang boleh mendatangkan kekeliruan dan perpecahan di kalangan masyarakat serta membendung sebarang unsur negatif yang dibawa dari luar yang tidak sesuai dengan masyarakat di negeri ini.

“Selain itu, ia juga untuk memastikan semua masjid dan surau sentiasa fokus kepada budaya ilmu yang sebenar yang mengutamakan kualiti dan impak positif kepada jemaah dan
masyarakat Islam,” katanya.

Terdahulu tular satu rakaman video menunjukkan kuliah yang perlu disampaikan Pendakwah Bebas, Datuk Mohd Kazim Elias di Masjid Al-Ittifaq Sungai Nibong Kecil di sini semalam terpaksa ditangguhkan.

Rakaman video itu menunjukkan Ustaz Kazim memberi penjelasan kepada jemaah yang hadir berhubung penangguhan kuliah tersebut.

“Kuliah ditangguhkan sebab saya tidak dibenarkan menyampai kuliah, jadi saya ambil keputusan bagi tidak lagi mengajar di Pulau Pinang bermula hari ini (semalam).

“Sebagai rakyat Malaysia yang patuh kepada arahan, saya menerima keputusan berkenaan.

“Ini adalah pertemuan terakhir dengan tuan-tuan jadi saya datang ke sini bukan untuk beri kuliah, tetapi nak sampaikan ucapan terima kasih kepada pihak masjid kerana sudi menjemput saya menyampaikan kuliah,” katanya.

Media pada 4 November 2022 melaporkan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) mengeluarkan surat pekeliling senarai nama 16 individu termasuk pendakwah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias yang didapati tidak memiliki tauliah mengajar daripada MAINPP.

Turut tersenarai adalah Datuk Ahmad Husam Baderudin, Ahmad Dusuki Abdul Rani, Yusni Mat Piah, Dr Abdullah Yassin, Prof Madya Dr Muhamad Rozaimi Ramle, Salman Ali, Maulana Fakhrurrazi, Mohd Rizal Azizan dan Halim Hassan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Ustaz Kazim tak dibenarkan beri kuliah di Pulau Pinang