Ahli Parlimen Selayang, William Leong bersama penduduk Rawang selepas Larian Bantah Insinerator Batu Arang di Puteri Central Park, Bandar Tasek Puteri, Rawang, hari ini.

RAWANG – Jaringan Rawang Tolak Insinerator (JRTI) menuntut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengotakan janji untuk bertemu dengan penduduk berhubung projek pembinaan insinerator di Batu Arang.

Jurucakapnya, Woo Wai Kuan berkata, Menteri Besar masih belum memberi sebarang jawapan selepas beliau berjanji untuk menemui penduduk sejak dua minggu lalu.

“Selasa lepas, kami berkumpul di luar upacara pecah tanah di Jeram dan mengadakan perhimpunan aman. Pada hari tersebut, ketika sidang media, Menteri Besar berjanji akan bertemu dengan penduduk Rawang.

“Pada hari sama, kami telah pun hantarkan e mel dan minta satu tarikh dan masa untuk sesi townhall dengan penduduk dari Batu Arang, Kota Puteri dan Bandar Tasik Puteri.

“Namun sudah 12 hari, kami masih belum menerima sebarang maklum balas daripada Menteri Besar,” katanya pada sidang media di Puteri Central Park, Bandar Tasek Puteri hari ini.

Terdahulu JRTI menganjurkan Larian Bantahan Insinerator Batu Arang hampir hampir dua jam melibatkan lebih 600 penduduk Rawang.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi Parlimen, William Leong.

Tambah Wai Kuan, sikap berdiam diri Menteri Besar itu dilihat cuba mengelak bertemu penduduk untuk menjawab persoalan mengenai projek bernilai RM4.5 bilion.

“Adakah ini cara seorang pemimpin melayan rakyat Selangor? Memilih untuk berdiam sendiri untuk menghindari persoalan rumit?

“Nampaknya sekarang penduduk Rawang tidak dipedulikan oleh pemimpinnya,” katanya.

Katanya lagi, pihaknya mengulangi desakan agar Menteri Besar menyegerakan perjumpaan dengan penduduk tanpa memberi sebarang alasan.

“Sekali lagi, kami penduduk Rawang minta satu perjumpaan townhall dengan Menteri Besar. Jangan tangguhkan lagi! Berikan tarikh, masa dan tempat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast