MERSING – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melakukan pemindahan perubatan (Medevac) membawa seorang penduduk Pulau Aur yang dipercayai mengalami serangan jantung untuk mendapatkan rawatan segera di Hospital Mersing, Jumaat lepas.

Pengarah Maritim Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Suhaizan Saadin berkata, Pejabat Kesihatan Daerah Mersing memohon bantuan membawa Baba Rahman, 55, ke hospital berkenaan selepas diberikan rawatan awal di Klinik Kesihatan Pulau Aur.

Beliau berkata, bot peronda Perkasa 31 telah diatur gerak ke Pulau Aur untuk memberikan bantuan Medevac yang turut disertai tiga pegawai perubatan hospital itu bagi mengiringi Baba.

“Pesakit itu (Baba) dipindahkan ke bot APMM dari Klinik Kesihatan Pulau Aur pada 7.30 malam dan tiba di Jeti Shahbandar Mersing sejam kemudian, sebelum terus dibawa ke hospital dengan ambulans,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Suhaizan meminta orang ramai melaporkan kepada Pusat Operasi Zon Maritim Mersing menerusi talian 07-7982529 atau 011-53226060 dan Pusat Operasi Maritim Negeri Johor 07-219 9404 serta talian kecemasan MERS 999 untuk tindakan segera berkaitan sebarang aduan dan insiden kecemasan di laut. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast