Anak kepada bekas Perdana Menteri, Nooryana Najwa Najib berucap pada Perhimpunan Demi Najib di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM,28 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib  Razak tabah menghadapi dugaan hidup dalam penjara selama lebih 14 bulan ketika ini.

Bagaimanapun apa yang bekas Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu tidak dapat terima ialah dirinya terpisah jauh dengan keluarga dan rakyat.

Bercakap dengan penuh emosi dan sesekali kelihatan menangis, anak perempuan Najib, Nooryana Najwa Najib yang juga Exco Pergerakan Puteri UMNO mendedahkan kesukaran ayahandanya berada dalam penjara bukan kerana melakukan kesalahan sebaliknya kegagalan undang-undang memberikan pembelaan sewajarnya.

“Dulu daddy (Najib) sibuk setiap hari, Yana pernah tanya beliau mengapa daddy lagi sibuk berbanding daddy kawan-kawan lain di sekolah? Mengapa tidak kerja sebagai ahli profesional dan bukannya menjadi ahli politik.

“Jawab beliau dirinya hanya mampu membantu 10 orang jika bergelar ahli profesional, bantu yang ada sekelilinya. Tetapi jika menjadi ahli politik, dirinya mampu membantu jutaan rakyat dalam satu masa. Begitulah karekter beliau yang sentiasa mementingkan rakyat.

“Hari ini sudah 14 bulan duduk di penjara. Beliau okay terpaksa makan makanan penjara, mandi dengan air sejuk, tidur atas tilam nipis. Apa yang beliau tidak dapat terima ialah adanya tembok penjara pisahkan dirinya dengan keluarga dan rakyat,” katanya.

Anak kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Mohd Nizar Najib (kiri) bersama Nooryana Najwa Najib (tengah) dan Datuk, Mohd Nazifuddin (kanan) ketika menyanyikan lagu Demi Najib pada Perhimpunan Demi Najib di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM,28 OKTOBER 2023.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan kira-kira 500 penyokong Najib di Dewan Bear Kelab Sultan Sulaiman pada Perhimpunan #Demi Najib anjuran bersama Akademi Wasatiyyah Madani dan Team NR malam tadi.

Sambung Nooryana yang juga Ketua Pergerakan Puteri UMNO Lembah Pantai itu, ‘oksigen’ Najib ialah rakyat dan beliau selama bergelar ahli sebelum kemuncaknya menjadi Perdana Menteri berterusan mentransformasi dan memperkasakan kehidupan rakyat.

“Tetapi apa yang berlaku selepas itu? Pada usia 70 tahun, beliau kini duduk berseorangan. Pernah daddy cakap, waktu paling sunyi ialah pada waktu malam. Ketika itu beliau pandang kiri, pandang kanan tidak ada sesiapa untuk berborak.

“Untuk hilangkan rasa sunyi itu, beliau akan baca buku adakalanya sehingga 400 muka surat. Dia minta Yana cetak semua gambar family yang beliau boleh tatap sebelum tidur. Beliau juga akan bertahajud pada malam hari berdoa.

“Tapi tiap kali ada perbicaraan, anda lihat beliau sangat ceria dan sentiasa tersenyum. Ada yang tanya mengapa wajahnya semakin berseri, beliau tidak pakai krim muka ya, hanya ketabahan dan kecekalan beliau bahawa dirinya tidak bersalah dan akhirnya akan dapat pengadilan,” tegasnya.

Kata Nooryana lagi, suasana dalam rumah Najib tidak seperti dulu dan merayu ayahandanya dipulangkan dengan segera serta baik.

“Fıkiran Datuk Najib hanyalah rakyat dan rakyat. Setiap kali melawatnya, itulah juga beliau akan tanya. Adakah rakyat cukup makan, adakah kos sara hidup naik, bagaimanakah mereka dan banyak lagi.

“Jadi adakah kita hendak biarkan Datuk Najib terus dizalimi?” soalnya. – MalaysiaGazette