Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 10 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menasihatkan Ahli-ahli Parlimen agar menjalani ujian kesihatan.

Katanya, serangan jantung yang berlaku kepada beliau disebabkan tahap kolestrol yang tinggi.

“Bagi mereka terutamanya yang (Ahli Parlimen) lelaki, silalah semak jantung masing-masing. Kerana risiko itu bukan sahaja kepada menteri tapi juga disebabkan gaya hidup kita terutamanya oleh kolestrol yang tinggi.

“Saya ada rekod kolestrol yang tinggi selama 20 tahun dan itu sudah tentu akan menyebabkan masalah kepada jantung,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2024 pada peringkat dasar hari ini di Dewan Rakyat.

Rafizi berkata menerusi platform X bahawa beliau akan hadir di Parlimen untuk sesi ucapan penggulungan berkaitan isu berkenaan kementeriannya selepas menjalani pemasangan stent jantung di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) baru-baru ini.

Pada 21 Oktober lalu, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa memaklumkan Rafizi berada dalam keadaan stabil selepas dilaporkan mengalami serangan jantung.

Timbalan Presiden PKR tersebut menjalani pemasangan stent jantung pada 25 Oktober lalu dan kini sedang berehat. – MalaysiaGazette