Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof hadir pada Pembentangan dan perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 18 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Prihatin dengan rungutan pihak perladangan mengenai cukai-cukai yang akan dikenakan kepada sektor tersebut, Kementerian Perladangan dan Komodoti (KPK) berkata, pihaknya dalam proses untuk melaksanakan kajian bagi menyelesaikan perkara itu.

Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kajian tersebut bagi mencari jalan lebih komprehensif mengenai percukaian kepada sektor berkenaan.

“Hasil kajian tersebut akan membantu kerajaan dalam merangka strategi dan polisi untuk memastikan sektor ini terus mampan dan berdaya saing.

“Pada masa ini, KPK sedang dalam proses akhir ‘due diligence’ bagi melaksanakan kajian. Kajian ini dijangka siap sepenuhnya pada tahun hadapan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Fadillah yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2024 pada peringkat daar hari ini di Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, Fadillah berkata, kerajaan akan mengambil kira purata kos pengeluaran sektor berkenaan sebelum apa-apa sistem percukaian diambil.

“Secara purata, kos pengeluaran buah tandan segar (BTS) di ladang adalah di antara RM300-RM450/tan dan dengan keadaan harga BTS semasa yang melebihi RM500/tan, pihak ladang masih merekodkan keuntungan.

“Walau bagaimanapun, Kerajaan tetap prihatin mengenai rungutan daripada pihak perladangan mengenai cukai-cukai yang dikenakan kepada sektor tersebut,” katanya.

Fadillah berkata, kerajaan sukar untuk mengawal kenaikan harga baja dan racun rumpai kerana bahan mentah tersebut diimport.

Katanya, harga barangan tersebut adalah bergantung kepada faktor pasaran global.

“Bagi membantu pekebun kecil sawit membeli input pertanian seperti baja, racun dan benih, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah meluluskan sebanyak RM983,000 bagi membiayai pinjaman dengan nilai maksimum RM16,250 kepada seramai 117 pekebun kecil sawit persendirian sehingga Ogos 2023.

“Pekebun kecil sawit tidak disyorkan untuk mengurangkan kadar input berkenaan kerana ia akan menurunkan hasil sawit dalam jangka panjang,” kata Fadillah. – MalaysiaGazette