KUALA LUMPUR – Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menyokong anjuran Minggu Solidariti Palestin yang Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) peringkat sekolah bermula 29 Oktober lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu berkata, ia bertujuan memberi pendedahan kepada murid berkaitan penderitaan rakyat Palestin berikutan konflik Palestin-Israel.
“Isu Gaza ini dia merentasi agama, ini mengenai isu kemanusiaan. Jadi sudah tentu rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan benci pada ketidakadilan, kezaliman dan pencerobohan. Kita berdiri (sokongan)dengan rakyat Palestin.
“Cuma seperti Perdana Menteri sebutkan sebelum ini diharapkan pihak sekolah dapat kawal pelaksanaannya dari tercetusnya kontroversi ketika menganjurkan solidariti,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan Penguatkuasaan Isu-Isu Semasa Syariah Peringkat Wilayah Persekutuan di sini hari ini.
Terdahulu, seramai 12 wakil rakyat PKR menggesa KPM mengkaji semula penganjuran program Minggu Solidariti Palestin di sekolah dan institusi pendidikan awam.
Dalam satu kenyataan bersama, mereka berkata, sekolah dan institusi awam sewajarnya bebas daripada unsur dendam dan keganasan.
Pada masa yang sama, mereka juga memohon KPM mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi garis panduan serta memprovokasi keganasan dengan senjata mainan di sekolah. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Kaji semula penganjuran Minggu Solidariti Palestin di sekolah