Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seramai 12 wakil rakyat PKR menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengkaji semula penganjuran program Minggu Solidariti Palestin di sekolah dan institusi pendidikan awam.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, mereka berkata, sekolah dan institusi awam sewajarnya bebas daripada unsur dendam dan keganasan.

“Kami difahamkan bahawa KPM bertujuan untuk mendidik pelajar mengenai nilai manusiawi, hak asasi manusia dan keprihatinan terhadap penderitaan.

“Namun adalah sukar bagi KPM untuk memantau program solidariti Palestin itu bagi mencapai matlamatnya tanpa menyebar rasa kedendaman dan keganasan.

“Pada masa yang sama, kami juga memohon KPM untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi garis panduan KPM serta memprovokasikan keganasan dengan senjata mainan di sekolah,” katanya.

Wakil rakyat terbabit berkata, tindakan membawa isu konflik antarabangsa ke sekolah adalah tidak wajar.

Katanya kerajaan dan rakyat perlu mngekalkan akal fikiran yang rasional sementara menyokong perjuangan Palestin dan jangan sesekali membangkitkan isu kedendaman dan keganasan dalam institusi awam.

Kenyataan itu ditandatangani oleh Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing
Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung dan Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man.

Turut menandatangani ADUN Kebun Bunga Lee Boon Heng; ADUN Rawang Chua Wei Kiat, ADUN Semanbu, Chan Chun Kuang
dan ADUN Simpang Pulai, Wong Chai Yi.

ADUN Chuah Yew Boon Lye, ADUN Bukit Tambun Goh Choon Aik
ADUN Kajang David Cheong Kian Yong, ADUN Bukit Batu, Arthur Chiong Sen Sern dan ADUN Bakar Arang Adam Loh Wei Chai.

KPM dalam kenyataan semalam berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti berbentuk ekstremisme di sepanjang penganjuran program Minggu Solidariti Palestin.

Ini berikutan video tular di media sosial mengenai sebuah program di sekolah yang didakwa memaparkan unsur ekstremisme.

KPM bagaimanapun bertegas, pihaknya akan melaksanakan program tersebut bermula 29 Oktober hingga 3 November bagi menyahut pendirian kerajaan untuk terus bersama-sama mempertahankan hak dan kebebasan rakyat Palestin.-MalaysiaGazette