Gambar hiasan

BEBERAPA minggu yang lalu, masyarakat dunia dikejutkan sekali lagi dengan serangan tentera Israel ke atas penduduk Palestin di Gaza. Serangan rambang tersebut telah mengorbankan beribu nyawa penduduk terutama orang awam yang tidak bersalah seperti wanita, kanak-kanak dan warga emas. Meskipun dunia acap kali mendengar berita tragis tersebut saban tahun, namun serangan kali ini disifatkan sebagai serangan luar biasa yang dilancarkan oleh mereka. Usaha serta tindakan pertahanan daripada pihak tentera Hamas diharapkan dapat melindungi masyarakat dan negara daripada kemusnahan walaupun hanya memiliki kekuatan yang kecil.

Koreksi buat muhasabah bersama
Adalah menjadi suatu keperluan untuk kita bertanya dalam diri di manakah peranan kita saat saudara semuslim diuji dengan musibah? Apakah usaha dan tindakan yang boleh kita lakukan bagi membantu mereka?. Konsep persaudaraan yang ditetapkan oleh Allah SWT boleh direnung melalui sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Perumpamaan orang Mukmin dalam hal mencintai, mengasihi dan menyayangi seperti satu jasad. Apabila salah satu anggota sakit, maka seluruh anggota lain turut berjaga malam dan merasa demam (Riwayat Muslim). Realiti hari ini masyarakat Muslim hatta non Muslim telah pun memahami isu konflik Palestin-Israel ini.

Atas kesatuan tersebut, pelbagai badan atau organisasi berkerjasama bagi membantu memenuhi keperluan di samping meringankan beban yang dihadapi oleh masyarakat Palestin terutama dari sudut sokongan kewangan, perubatan dan keperluan lain. Walau bagaimanapun, tidak dinafikan juga wujud juga segelintir kecil dalam kalangan masyarakat yang buat tidak endah dengan isu ini. Dalam ruang yang ada, pelbagai Badan Bukan Kerajaan (NGO) menganjurkan perhimpunan, perarakan dan pengisian bagi membuka minda masyarakat agar lebih memahami dan cakna dengan isu antarabangsa yang berlaku.

Masyarakat perlu tahu dan sedar bahawa isu Palestin bukan hanya melibatkan penganut beragama Islam, malahan ia melibatkan hak dan isu kemanusiaan yang dizalimi. Konflik atau krisis yang terjadi merupakan isu kemanusiaan sejagat yang mana episod kekejaman melepasi batas atau sempadan yang dibenarkan. Dengan erti kata lain, banyak tindakan yang dilakukan oleh pihak tentera Israel khususnya ialah jenayah perang yang melanggar undang-undang antarabangsa. Serangan secara rawak sehingga melibatkan tempat awam seperti masjid dan lebih menyayat hati hospital yang menempatkan orang sakit.

Kesatuan pemikiran dan tindakan
Kewujudan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dalam Negara cukup penting dalam memberikan signal kesedaran dalam isu setempat sehinggalah antarabangsa. Perhimpunan aman yang dianjurkan oleh mereka contohnya menunjukkan kesepakatan masyarakat dalam menolak kekejaman yang dilakukan oleh tentera Israel. ‘Freedom For Palestine’ antara slogan yang dilaungkan oleh semua di samping ungkapan yang lain. Biarlah adakala kita berbeza pendekatan, namun objektif tetap sama iaitu menggesa serangan ke atas Gaza dihentikan segera agar jumlah yang berkorban tidak bertambah lagi.

Jika ditinjau pada tahun 2021, Amerika Utara dan Eropah turut berhimpun beramai-ramai mengibarkan bendera Palestin dan memegang papan nama yang bertuliskan ‘Kebebasan untuk Gaza’. Kesatuan pemikiran dan tindakan berpotensi mendesak kuasa besar untuk mencari jalan perdamaian dan menghentikan apa yang berlaku. Kezaliman bukan sahaja mengancam keamanan dan kesejahteraan, tetapi bakal menghancurkan masa depan penduduk asal Palestin. Masyarakat Palestin berhak untuk hidup bebas dan anak-anak di Gaza harus dikembalikan keseronokan zaman mereka.

Isu Palestin tanggungjawab individu
Islam menuntut penganutnya untuk sentiasa memiliki rasa empati dan ihsan terhadap saudara semuslim mahupun manusia secara umumnya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Tidak beriman (sempurna iman) seseorang itu sehingga dia kasih kepada saudaranya sebagaimana dia kasih kepada dirinya sendiri. (Riwayat al-Bukhari). Berdasarkan hadis tersebut, kesatuan terhadap isu Palestin merupakan suatu tanggungjawab yang dipikul sama, bukan pilihan.

Solidariti yang dikumandangkan bukan terhad pada perhimpunan, tetapi lebih utama adalah penghayatan terhadap perjuangan masyarakat Palestin dalam mendapatkan hak dan kemerdekaan tanah air sendiri. Oleh yang demikian, sekecil mana pun perkara yang boleh kita lakukan itu sudah memadai bagi menjamin kesejahteraan mereka. Kebebasan masyarakat Palestin sama sekali tidak akan berlaku sekiranya masyarakat dunia
hatta Muslim tidak bersatu dan dibuai mimpi dorongan keduniaan serta kepentingan peribadi semata-mata.

Kesabaran dan ketabahan masyarakat Palestin selama berpuluh tahun memberikan suntikan semangat kepada kita untuk terus berjuang bersama pada keupayaan dan kemampuan yang ada. Semoga setiap usaha yang dilaksanakan diharapkan dapat memberikan impak perubahan seterusnya mengembalikan peta sejarah dan geografi asal buat masyarakat Palestin.

Arifuddin Nor Hisham
Calon Sarjana Jabatan Siasah Syar’iyyah
Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya

 

 

Dr. Mohd Syukri bin Zainal Abidin
Pensyarah Kanan
Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam
Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast