Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor menyampaikan sijil kepada salah seorang graduan Asasi PPST UMS.

KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) komited untuk memartabatkan bidang sains dan teknologi melalui pelbagai inisiatif, selari dengan kehendak kerajaan dalam memperkasakan kemahiran untuk mendepani Revolusi Industri 4.0.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, kerajaan sentiasa meneruskan komitmennya untuk memajukan bidang sains dan teknologi dengan menyediakan pelbagai dana penyelidikan dan pembangunan yang berpatutan.

Menurutnya, pelbagai program dianjurkan yang lebih berfokuskan kepada mendepani cabaran dan transformasi IR4.0 seperti Karnival Sains, Minggu Sains Negara dan World Space Week di peringkat UMS.

“Ini selari dengan harapan untuk memupuk minat para pelajar dalam bidang-bidang yang berkaitan dengan sains dan teknologi, selain mahu menarik minat masyarakat luar, khususnya pelajar-pelajar sekolah yang bakal menjadi pelajar universiti sama ada di UMS mahupun universiti di Malaysia,” katanya ketika menyempurnakan perasmian Majlis Graduasi Asasi UMS Kali Ke-11 di Dewan Resital, UMS.

Beliau juga percaya melalui penambahan graduan jurusan sains dan teknologi daripada Asasi Pusat Persediaan Sains dan Teknologi (PPST) UMS, aspirasi negara untuk menjadi sebuah negara maju yang melahirkan masyarakat berliterasi serta membudayakan sains dalam setiap dimensi kehidupan mampu tercapai.

“Oleh yang demikian, saya menyeru kepada para pelajar UMS agar terus menanam minat terhadap bidang sains dan teknologi serta bertekad dan bersemangat menjadi sebahagian daripada nadi penggerak ke arah mencapai matlamat negara.

“Buktikan kepada dunia anda merupakan antara penyumbang kepada kemajuan bidang sains dan teknologi bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia.Buda

“Teruskanlah menyemai cita-cita murni, berusaha lebih keras, tanpa mengira penat lelah demi memastikan kejayaan terus dikecapi hingga peringkat tertinggi,” ujar beliau.

Pada majlis tersebut, Kasim menyempurnakan penganugerahan Sijil Asasi Sains kepada 304 orang pelajar dan Sijil Asasi Teknologi Maklumat kepada 49 orang pelajar. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast