NILAI – Seramai 500 pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menerima sumbangan makanan percuma menerusi Projek Agihan Kupon Makanan Percuma pada setiap bulan bermula Oktober sehingga Disember.
Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Pusat Pentadbiran YaPIEM Negeri Melaka dan Negeri Sembilan bersetuju untuk membelanjakan sejumlah peruntukan untuk menjayakan projek di bawah Tabung It’am Muhtajin itu.
Pengarah Pusat Wakaf dan Zakat (PWZ) USIM, Prof. Madya Dr. Mushaddad Hasbullah berkata, peruntukan sebanyak RM12,000 diberikan oleh YaPEIM kepada PWZ (USIM) bagi menjayakan projek ini.
“Agihan kupon makanan percuma sebanyak RM8 dapat memberi manfaat dan mengurangkan kos perbelanjaan makanan para pelajar.
“Para pelajar sanggup datang dari jauh untuk beratur bagi mendapatkan kupon yang bernilai RM8 itu di hadapan Pusat Wakaf dan Zakat (PWZ) USIM dan hal ini menunjukkan kupon itu sangat bermakna buat para pelajar,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini
Tambah beliau, projek ini mendapat sambutan hangat oleh para pelajar kerana ia memakan masa dua hari sahaja untuk mengagihkan kupon tersebut.
Dengan kupon tersebut, pelajar boleh membuat pembelian makanan dan minuman di kafe atau pengusaha kedai di sekitar USIM yang telah disenaraikan. – MalaysiaGazette