KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret di sini hari ini dimaklumkan representasi yang dihantar pelakon, Sharnaaz Ahmad bagi menggugurkan pertuduhan mencederakan seorang pengawal keselamatan masih dalam peringkat penilitian Jabatan Peguam Negara (AGC).
Kesalahan itu dilakukan oleh Sharnaaz atau nama sebenarnya Sharnaaz Ahmad Bazir Ahmad di sebuah kondominium tahun lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Eleena Jamaluddin Akbal memaklumkan reprsentasi dihantar pada 2 Mei lalu kepada AGC namun belum ada keputusan mengenainya.
Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim kemudian menetapkan 17 November ini bagi mengetahui status representasi itu, dan ia tidak mendapat bantahan mana-mana pihak.
Difahamkan representasi itu dihantar selepas laporan polis dibuat ke atas pelakon tersebut ditarik balik.
Mengikut pertuduhan, pelakon itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki berusia 27 tahun di kawasan lif pintu masuk sebuah blok kondominium di Jalan Dutamas, di sini, pukul 8.30 malam 16 Jun 2022.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Menurut laporan, Sharnaaz yang tinggal di kondominium itu menumbuk dan menendang mangsa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan selepas rakan mangsa yang hendak menghantar minyak masak dilarang masuk ke dalam kawasan itu oleh mangsa. -MalaysiaGazette