Beliau berkata demikian pada Majlis Penutupan Program MyLesen B2 peringkat JPJ Melaka di Banda Hilir di sini hari ini.
Aedy Fadly menyampaikan lesen kepada penerima pada Majlis Penutupan Program MyLesen B2 peringkat JPJ Melaka di Banda Hilir di sini hari ini.

MELAKA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan memuktamadkan kajian untuk menaik taraf lesen memandu motosikal bagi kelas B1,B2 kepada B pada akhir tahun ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Aedy Fadly Ramli berkata, perkara itu kini di peringkat akhir penelitian Kementerian Pengangkutan (MoT).

“Kita akan selesaikan dalam tahun ini juga dan di peringkat JPJ kita tunggu keputusan Kementerian Pengangkutan kerana ia membabitkan dasar.

“Setakat ini kementerian belum umumkan apa-apa keputusan, tapi Insya-Allah saya rasa tiada masalah dan mungkin dalam tahun ini kita akan umumkannya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutupan Program MyLesen B2 peringkat JPJ Melaka di Banda Hilir, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer dan Pengarah JPJ Melaka, Muhammad Firdaus Sharif.

Pada majlis itu, seramai 298 golongan B40 menerima lesen B2 terdiri daripada penerima bantuan Sumbangan Tunai Rahmah, Majlis Agama Islam Melaka, Jabatan Kebajikan Masyarakat, e-Kasih, Baitulmal dan Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini berkata, cadangan menaik taraf lesen memandu motosikal bagi Kelas B2 kepada B, secara automatik akan dibawa kepada MoT untuk diteliti terlebih dahulu.

Beliau berpendapat, tidak ada masalah berhubung cadangan itu kerana penunggang motosikal yang mempunyai lesen Kelas B2 memang memiliki pengalaman menunggang kenderaan berkenaan. – MalaysiaGazette