Mustapha Sakmud
Mustapha Sakmud

KUALA LUMPUR – Draf Rang Undang-undang (RUU) Ordinan Buruh Sabah (Pindaan) 2023 (OBS) telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk semakan serta kelulusan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mustapha Sakmud berkata, ketika ini AGC sedang meneliti draf RUU yang bertujuan memastikan majikan dan pekerja di Sabah menikmati hak-hak dan faedah yang sama seperti di Semenanjung itu.

Menurut beliau, sebaik sahaja keputusan diperolehi, ia akan dibentang dalam mesyuarat Jemaah Menteri untuk mendapat persetujuan sebelum dibawa ke Parlimen.

“Oleh kerana pindaan ini melibatkan pindaan yang besar, masa yang secukupnya perlu diberikan agar draf cadangan pindaan yang disemak dan diluluskan adalah lengkap dan menyeluruh.

“Kementerian Sumber Manusia menyasarkan RUU OBS dijangka akan dibentangkan pada sesi Parlimen akan datang,” katanya dalam sidang media di Pusat Media Parlimen, hari ini.

Mustapha menambah, pindaan tersebut pada mulanya dirancang untuk dibentangkan dalam sesi Parlimen kali ini namun kementeriannya perlu memperhalusinya lagi agar ia mengambil kira kepentingan dan kondisi 187,000 majikan serta 2.038 juta pekerja di Sabah.

Beliau memberitahu, pindaan RUU OBS melibatkan penyelarasan peruntukan di bawah Akta 265, Akta Kanak-kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) 1966 (Akta 350) dan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

“Saya ingin memaklumkan bahawa kerajaan negeri Sabah telah bersetuju melalui Mesyuarat Jemaah Menteri pada 19 Oktober 2022 agar pindaan kepada OBS juga dibuat sebagaimana Akta Kerja 1955 di Semenanjung,” jelasnya. – MalaysiaGazette