KUALA LUMPUR – Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mengumumkan hasil jualan tiket bagi semua perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada akhir musim ini disumbangkan kepada Tabung kemanusiaan Palestin.
Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Alistair Edwards berkata, ia merupakan arahan daripada pemilik kelab iaitu Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) sebagai tanda solidariti kepada Palestin.
“DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor telah menitahkan agar kesemua kutipan tiket perlawanan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) di laman sendiri sehingga penghujung musim disalurkan ke tabung kemanusiaan Palestin.
Rakyat Palestin ketika ini berdepan krisis ‘pembunuhan beramai-ramai’ selepas serangan berterusan tentera rejim zionis Israel.
Ini bukan kali pertama JDT memberi bantuan kerana sebelum ini mereka pernah memberikan sumbangan kepada mangsa bencana banjir di Pahang dan Kelantan serta mangsa bencana gempa bumi di Sabah dengan memberi wang kemenangan Piala Malaysia.
Malah, sebahagian daripada gaji pemain JDT pernah dipotong untuk disumbangkan kepada Tabung Bencana Negeri Johor bagi meringankan beban mereka yang terjejas dengan wabak Covid-19 pada tahun 2020. – MalaysiaGazette