KUALA LUMPUR – Penggiat seni khususnya pelakon boleh menegur produser drama mahupun filem sekiranya skrip lakonan boleh mengguris perasaan, apatah lagi tidak menghormati tempat suci umat Islam.

Menteri di Jabatan Perdana (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, syarikat produksi sepatutnya menghidangkan hasil seni untuk mendidik dan membina masyarakat.

“Pada saya dalam konteks lakonan itu, drama dan sebagainya, dia sepatutnya mendidik masyarakat.

“Yang buat skrip atau pelakon, sepatutnya skrip yang dibina itu biarlah satu skrip yang dapat membina masyarakat.

“Sebab masing-masing boleh mainkan peranan.

“Dalam konteks tersebut, saya rasa tak salah untuk pelakon itu memberi teguran dan sebagainya untuk memilih skrip,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan Tabung Rahmah Madani di Masjid Imam Al-Ghazali, Bandar Baru Menjalara, Kepong.

Hadir sama Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Mohd Ajib Ismail.

Sebelum ini, drama Surat Dari Tuhan mendapat kritikan hebat oleh netizen yang menganggap dialog digunakan seperti tidak menghormati Tanah Suci, Makkah.

“Hei perempuan, kau dengar apa aku cakap, depan makan Rasulullah ini aku cakap depan muka kau, kalau Ryan benci aku, aku akan pastikan dekat Tanah Haram ni kau mampus”.

Demikian dialog kontroversi yang diucapkan oleh pelakon Janna Nick ketika menjayakan watak Misha dalam drama tersebut yang mula ditayangkan di slot Samarinda bermula 30 Oktober.

Tambah Na’im, syarikat produksi perlu melakukan perbincangan semula syarikat produksi terlibat agar hasil seni yang dihasilkan tidak melampaui batas.

“Saya rasa proses musyawarah perlu ada, pelakon menerangkan kepada produser tadi sebab kita nak mendidik masyarakat, nak menjadi manusia yang terbaik,” katanya.

Na’im turut menegur perbuatan pelakon terbabit walaupun dalam lakonan, namun ia tidak sepatutnya dilakukan tu tempat-tempat suci orang Islam.

“Kita mendoakan terbaik kepada seseorang, memanglah kadang kita rasa nak marah dekat seseorang itu dan kita melemparkan perkataan-perkataan tak baik

“Apatah lagi di satu tempat yang dihormati dan suci dekat Makan Rasulullah SAW

“Kenapa kita ambil suasana dan keadaan yang sepatutnya kita mendoakan yang baik-baik untuk diri sendiri, keluarga, anak beranak, masyarakat dan negara,” katanya.

Tambah beiiau, sepatutnya penggiat seni perlu cakna keadaan semasa khususnya tindakan ketenteraan terhadap rakyat Palestin.

“Dalam keadaan sekarang, kita perbanyakkan doa kepada saudara-saudara kita di Palestin yang sedang ramai dibunuh, kanak-kanak dibunuh.

“Kenapa tidak kita ambil peluang sebab tak semua orang berada di tempat Makam Rasulullah SAW, antara tempat yang mustajab doanya.

“Jadi nasihat saya kita elakkan perbuatan yang sebegini, walau macam mana pun kita marah (dalam skrip),” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast