Pembantu klinik warga tempatan yang juga penuntut di Singapura dibawa keluar oleh ahli keluarganya selepas mengaku tidak bersalah atas tuduhan membuat hantaran jelik upah pembunuh untuk membunuh PM ke-8 di Mahkamah Sesyen Ampang tengahari tadi.

KUALA LUMPUR – Seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang, di sini, atas pertuduhan membuat hantaran ugutan untuk membunuh bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiga tahun lalu.

Tertuduh, Tai Zee Zing yang berasal dari Sungai Siput, Perak dan bekerja sebagai Pembantu Klinik di Singapura, 31, membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob.

Mengikut kertas pertuduhan, beliau didapati telah menggunakan perkhidmatan aplikasi Facebook melalui nama profil Penny Tan secara sedar telah membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya “Can hired killer to kill new prime minister”.(boleh mengupah pembunuh untuk membunuh perdana menteri baharu) dengan niat untuk menyakiti hati orang lain.

Zee Zing dituduh melakukan kesalahan itu pada kira-kira jam 12.35 tengah hari 1 Mac 2020 di Balai Polis Ampang.

Berikutan itu, dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 233(1)(a)(ii) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh di hukum di bawah Seksyen 233(3) Akta sama.

Jika disabitkan kesalahan Zee Zing boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan tertuduh juga boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan diteruskan selepas penyabitan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Hakim Amir Abdul Hamid mencadangkan wang jaminan sebanyak RM20,000 dikenakan kepada tertuduh selain perlu menyerahkan pasport sehingga kes selesai dan melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Bagaimanapun, peguambelanya Rajsurian Pillai merayu mahkamah agar mengenakan wang jaminan yang munasabah memandangkan anak guamnya masih bekerja dan menuntut di Singapura dengan dengan gaji bulanan RM3,000 selain sedang melanjutkan pengajian dalam Diploma Pengurusan Perniagaan di negara tersebut.

Katanya, Zee Zing juga telah memberi kerjasama baik sepanjang siastan dan tiada risiko untuk tertuduh melarikan diri sementara adiknya yang merupakan seorang peguam turut hadir sebagai penjamin pada hari ini.

“Selain itu wang jaminan hanyalah untuk memastikan seseorang itu hadir perbicaraan kes dan memandangkan hukumannya penjara maksimum setahun sahaja serta kes yang boleh dijamin, tidak sepatutnya menetapkan syarat tambahan,” kata beliau.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Wan Mohd Norisham membenarkan wang jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Beliau menetapkan 20 Disember ini sebagai sebutan semula kes. – MalaysiaGazette