KUALA NERUS – Perpustakaan Sultanah Nur Zahirah (PSNZ) Universiti Malaysia Terengganu telah melaksanakan beberapa fasa peralihan dan menaik taraf kemudahan.
Ketua Pustakawan UMT, Abu Hasan Ghazali berkata, PSNZ berusaha dalam meningkatkan kualiti penyampaian dan pengurusan maklumat kepada pengguna perpustakaan melalui penggunaan teknologi berkonsepkan Revolusi Industri 4.0 yang mana selari dengan pelan strategik UMT.
“Pengurusan PSNZ UMT optimis dalam merencanakan pelbagai pembaharuan dalam usaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan yang majoriti dari kalangan mahasiswa dan penyelidik.
Menurutnya, antara projek pengubahsuaian dan menaiktaraf perpustakaan tersebut seperti Studio Rakaman, Ruang Bacaan 24jam, Arkib Digital, Sistem repositori UMT (UMT-IR) yang menempatkan tesis, laporan projek dan penerbitan UMT, Mesin penghantaran bahan layan diri/Bookdrop, Video wall/Digital Signage, Aduino & raspberry kit, Smart TV dan Google Home.
“Seiring dengan perubahan teknologi, kita juga bangunkan aplikasi khas bagi memudahkan pelanggan untuk membuat tempahan bilik, carian dan pinjaman bahan perpustakaan hanya melalui telefon pintar.
Tambahnya, pihaknya meneruskan program tahunan iaitu PSNZ Open Day sebagai medium komunikasi antara perpustakaan dengan pelanggan bagi mewar-warkan perkhidmatan yang ditawarkan di PSNZ selain bertindak sebagai kempen menarik lebih ramai berkunjung ke perpustakaan.
“Bagi penganjuran program tahunan ini, kita tawarkan pelbagai aktiviti seperti program resensi buku, pengiktirafan peminjam tertinggi, pertandingan eSport, kuiz, pameran pelbagai agensi, cabutan bertuah serta program derma darah,” katanya.
Hari terbuka yang berlangsung selama empat hari berakhir 2 November 2023 itu turut menawarkan gerai jualan makanan, trak makanan dan pertandingan video tiktok serta pertandingan poster. – MalaysiaGazette