SUBANG – Seramai 854 pegawai dan anggota lain-lain pangkat (LLP) kumpulan pertama Malaysian Battalion 850-10 (MALBATT 850-11) dihantar ke Lubnan bagi misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNIFIL), bermula hari ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pasukan tersebut akan menggantikan MALBATT 850-10 yang telah berada di negara berkenaan selama hampir setahun.
Jelas beliau, kumpulan kali ini akan bergerak menerusi empat peringkat sehingga 17 November ini.
“Pasukan ini akan menggantikan anggota kita MALBATT 850-10 yang sedang bertugas selepas setahun dalam misi pengaman PBB yang mana selain Malaysia ada lagi lapan negara menjadi anggota misi ini di bawah,” katanya pada sidang media, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pemakaian Beret Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Penyerahan Bendera Malaysia serta penghantaran kumpulan pertama MALBATT 850-11 di Pangkalan Udara Subang, hari ini.
Pasukan berkenaan diketuai oleh Kolonel Burhan Saigon selaku Komander manakala Leftenan Kolonel Zainil Abdul Saman pula sebagai Timbalan Komander.
Daripada 854 pegawai dan anggota keseluruhan, 30 daripadanya daripada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).
Terdahulu, Mohamad ketika berucap menyifatkan penglibatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di bawah panji PBB merupakan pengiktirafan dan kepercayaan masyarakat antarabangsa yang berterusan.
“Oleh yang demikian adalah menjadi tanggungjawab seluruh warga MALBATT untuk mengekalkan mutu disiplin yang tinggi untuk memastikan pengiktirafan ini terus terpelihara demi memartabatkan lagi maruah negara dan ATM di persada antarabangsa,” katanya.
Beliau yakin pasukan berkenaan sudah bersedia selepas menjalani latihan khusus selama tiga bulan di bawah kawal selia Markas Angkatan Bersama bertempat di MALBATT Village, Port Dickson, Negeri Sembilan.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada ahli keluarga yang merestui anggota dan pegawai MALBATT melaksanakan misi tersebut.
“Insya-Allah kebajikan dan keselamatan setiap pegawai dan anggota akan sentiasa dipantau oleh markas angkatan bersama.
“Marilah kita bersama-sama mendoalan agar kontinjen MALBATT 850-11 dipermudahkan dalam menjalankan segara urusan diberikan kesihatan baik dan selamat dalam melaksanakan mksi serta sentiasa dirahmati Allah,” tambahnya. – MalaysiaGazette