Dr. Shahrin Sahibuddin (kanan) menerima pelantikan daripada Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

KUALA LUMPUR – Prof. Ts. Dr. Shahrin Sahibuddin dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) bagi tempoh tiga tahun berkuat kuasa 2 November 2023 hingga 1 November 2026.

Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dan Sarjana Sains dalam bidang Kejuruteraan dari Purdue University West Lafayette, Amerika Syarikat sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah dalam bidang Pemprosesan Selari (Parallel Processing) di University of Sheffield, United Kingdom.

Shahrin merupakan Profesor Kanan dalam bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Kementerian Pendidikan Tinggi berkata, beliau pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTeM pada tahun 2013 sebelum menggalas amanah sebagai Naib Canselor UTeM untuk tempoh lima tahun pada tahun berikutnya.

Selain memiliki pengalaman kepimpinan di universiti awam, Shahrin turut memiliki pengalaman pentadbiran di beberapa institusi pendidikan tinggi swasta antaranya Universiti Multimedia (MMU) dan Kolej Yayasan Melaka.

Selain itu, beliau juga memiliki reputasi akademik yang sangat dihormati di dalam dan luar negara sekali gus mampu meningkatkan keterlihatan universiti dalam memacu kecemerlangan UiTM khususnya dalam era teknologi pengganggu hari ini.

Beliau turut dilihat berupaya untuk memperkasa UiTM sebagai wadah pendidikan utama negara dalam melahirkan graduan Bumiputera yang berdaya saing dan kalis masa hadapan.

Kementerian turut mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Prof. Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor atas jasa bakti beliau sepanjang menerajui UiTM sebelum ini. – MalaysiaGazette