P. Ramasamy

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini, hari ini memerintahkan bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, P Ramasamy membayar ganti rugi lebih RM1.5 juta selepas didapati bersalah memfitnah pendakwah bebas, Dr Zakir Naik empat tahun lepas.

Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim, Hayatul Akmal Abdul Aziz memutuskan ganti rugi lebih RM1 juta selepas mendapati Dr Zakir berjaya membuktikan tiga elemen fitnah terhadapnya dilakukan Ramasamy.

Hayatul juga memerintahkan ganti rugi fitnah itu dibuat dalam tempoh 30 hari, bermula hari ini.

Dr Zakir yang berasal dari India dan kini memiliki status penduduk tetap menyaman bekas pemimpin DAP itu dalam dua saman berasingan berhubung kenyataan-kenyataan berbaur fitnah terhadapnya antara 2017 dan 2019.

Ketika hakim hendak menyampaikan keputusan, peguam mewakili Dr Zakir, Datuk Akberdin Abdul Kader memaklumkan anak guamnya tidak dapat hadir ke prosiding secara fizikal memandangkan kini beliau berada di Nigeria.

Hakim kemudian membenarkan Dr Zakir mendengar keputusan secara atas talian manakala Ramasamy berada dalam mahkamah ketika ia dibacakan bersama beberapa penyokong setianya.

Dr Zakir memfailkan dua saman terhadap dakwaan Ramasamy yang mengeluarkan kenyataan fitnah membabitkan pendakwah bebas itu, selain mengaitkannya dengan isu LTTE.

Dalam penyataan tuntutan, plaintif mendakwa pada 10 April 2016, Ramasamy memfitnahnya apabila memanggil beliau (Dr Zakir) dengan gelaran yang tidak sopan di laman Facebook milik defendan, dan defendan juga sekali lagi mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap plaintif pada 1 Oktober 2017 yang mana artikel mengenainya dimuat naik di laman portal, Free Malaysia Today (FMT), pada hari sama.

Beliau mendakwa, pada 11 Ogos 2019 defendan memanipulasikan jawapannya ketika berucap dalam ceramah dianjurkan Kerajaan Negeri Kelantan, dan ia juga disiarkan di laman portal FMT pada hari sama, serta mendakwa defendan pada 20 Ogos tahun sama turut mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap plaintif, yang disiarkan media antarabangsa, India Today.

Dr Zakir mendakwa, kenyataan itu membawa maksud seolah-olah beliau berperwatakan jahat dan mengancam keamanan serta keharmonian negara.

Oleh itu, plaintif menuntut injunksi bagi menghalang defendan daripada mengeluarkan, menerbitkan atau memuat naik kenyataan fitnah sama, selain menuntut permohonan maaf dan ganti rugi am, teruk, teladan dan pampasan, serta relif lain.

Pada Disember 2019, Dr Zakir sekali lagi menyaman Ramasamy selepas mendakwa defendan memfitnahnya, melalui komen yang disiarkan dalam portal The Malaysian Insight berhubung isu LTTE. –MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast