Aksi pemanduan seorang warga Rohingya yang menunggang motosikal bersama dua kanak-kanak mengundang bahaya di Kuantan baru-baru ini.

KUANTAN – Tindakan berani warga Rohingya di sini yang menunggang motosikal roda tiga sambil membawa kanak-kanak yang tular telah diambil tindakan oleh polis.

Aksi menunggang secara berbahaya itu telah diambil tindakan oleh sepasukan peronda Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan semalam.

Ketua Polis Kuantan, Asisten Kommisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, warga asing itu disaman atas kesalahan tiada lesen memandu, tiada perlindungan insurans dan ubah suai struktur kenderaan.

”Pada jam 7 malam semalam polis telah menahan motosikal jenis Honda Wave, warna hitam yang ditunggang oleh seorang lelaki warga Rohingya memiliki kad UNHCR bersama seorang kanak- kanak lelaki juga berbangsa Rohingya di Jalan Darat Makbar Jaan Darat Makbar.

””Hasil semakan dapati motorsikal tersebut merupakan motosikal yang telah tular di laman media baru-baru ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Wan Zahari, pemeriksaan lanjut mendapati penunggang tersebut tidak memiliki lesen memandu dan telah dibawa ke Balai Polis Trafik Kuantan untuk tindakan lanjut.

Polis kemudian menyita motosikal roda tiga tersebut di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

”Adalah ditegaskan warga asing khususnya pelarian Rohingya yang memiliki kad UNHCR  tidak berkelayakan untuk memandu atau menunggang kenderaan di negara ini,” tegasnya.

Beliau berkata, berdasarkan undang-undang, pesalah boleh dikenakan tindakan undang-undang dan boleh dihadapkan ke mahkamah.

Warga asing yang memiliki lesen memandu yang sah juga dinasihatkan supaya mematuhi undang-undang yang telah diperuntukkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu pada 31 Oktober lalu, tular di media sosial mengenai gambar penunggang motorsikal roda tiga bersama dua orang kanak-kanak secara berbahaya dan ia mengundang kritikan netizen. – MalaysiaGazette