P. Ramasamy

KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Ketua Menteri II, P Ramasamy hari ini tampil meminta sumbangan awam bagi membayar RM1.52 juta sebagai pampasan kerana memfitnah pendakwah bebas, Dr Zakir Naik dalam tempoh 30 hari.

Kata Ramasamy yang juga mantan Ahli Dewan Undangan Prai (ADUN), beliau memohon sumbangan umum memandangkan semua kenyataan dikeluarkan oleh beliau adalah perjuangannya dalam bersuara untuk rakyat di negara ini.

Katanya, sumbangan itu akan digunakan untuk membayar pampasan dan andainya ada lebihan, ia akan digunakan untuk masyarakat umum.

“Saya akan bersikap telus dalam sumbangan ini, setiap sen dana ini akan dimaklumkan kepada umum dan apa sahaja lebihan akan digunakan untuk rakyat yang memerlukan.

“Tujuan saya meminta derma juga kerana saya didapati bersalah oleh mahkamah kerana setiap kenyataan yang dianggap fitnah itu bukanlah mempunyai agenda peribadi atau bersifat peribadi sebaliknya saya mempertahankan serta bersuara untuk rakyat Malaysia.

“Saya juga akan terus lantang dalam bercakap dan berjuang untuk rakyat di negara ini tidak kira kaum,” katanya kepada media hari ini.

Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi, Hayatul Akmal Abdul Aziz memutuskan ganti rugi demikian selepas mendapati Dr Zakir selaku plaintif berjaya memenuhi tiga elemen fitnah yang dilemparkan bekas pemimpin DAP itu, empat tahun lalu.

Ramasamy selaku defendan perlu membayar ganti rugi am sebanyak RM1 juta, ganti rugi teladan RM250,000, ganti rugi teruk RM100,000, pampasan RM100,000 dengan kos sebanyak RM70,000.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan Ramasamy untuk menangguhkan permohonan maaf kepada Dr Zakir dan menetapkan tarikh 1 Disember depan untuk prosiding pendengaran berhubung isu terbabit.

Hayatul Akmal ketika membaca keputusaanya berkata, mahkamah mendapati Ramasamy gagal membuktikan kewajaran penerbitan kenyataannya terhadap Dr Zakir.

“Kenyataan berbaur dendam dengan niat jahat ini berlaku lebih tiga tahun, iaitu bermula 10 April 2016 hingga 8 November 2019. Hujah pembelaan juga tidak boleh dipertahankan kerana tidak ada sebarang bukti kukuh.

“Mahkamah mendapati plaintif berjaya memenuhi elemen sama ada pernyataan yang disangkal bersifat fitnah, merujuk kepadanya dan diterbitkan kepada pihak ketiga,” ujarnya.

Ramasamy yang diwakili peguam, Datuk Murali Navaratnam, Razlan Hadri, Navpreet Singh dan Felix Lim melahirkan rasa tidak gembira berikutan keputusan itu dan akan membuat rayuan dalam masa terdekat.

“Saya tidak gembira, mahkamah memutuskan bahawa lima kenyataan saya ialah memfitnah, mungkin saya tidak bersetuju dengan perkara itu,” tegasnya.

Dr Zakir telah memfailkan dua saman  atas dakwaan Ramasamy mengeluarkan kenyataan fitnah membabitkan pendakwah bebas itu, selain mengaitkannya dengan isu LTTE.

Dr Zakir mendakwa, kenyataan itu membawa maksud, seolah-olah beliau berperwatakan jahat dan mengancam keamanan, serta keharmonian negara.

Oleh itu, plaintif menuntut injunksi bagi menghalang defendan daripada mengeluarkan, menerbitkan atau memuat naik kenyataan fitnah sama, selain menuntut permohonan maaf dan ganti rugi am, teruk, teladan dan pampasan, serta relif lain.

Pada Disember 2019, Dr Zakir sekali lagi menyaman Ramasamy selepas mendakwa defendan memfitnahnya, melalui komen yang disiarkan dalam portal The Malaysian Insight berhubung isu LTTE. –MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Padan muka sebab dia pejuang pengganas LTTE..biar dia bayar saman dan semua umat Islam patut elak membantu selesaikan wang saman .
    Zakir Naik telah menyatakan bahawa wang saman tersebut diderma kepada perjuangan rakyat Palestin sepenuhnya

Comments are closed.