Seorang wanita warga tempatan selamat melahirkan bayi lelaki seberat 3.2 kilogram di di Klinik Kesihatan Tekek, Pulau Tioman hari ini

PULAU TIOMAN – Petugas di Klinik Kesihatan Tekek, Pulau Tioman mencatat sejarah tersendiri apabila menerima kelahiran pertama, hari ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Pahang, Datuk Dr. Nor Azimi Yunus berkata, ia merupakan kelahiran pertama sejak Pusat Bersalin Klinik Kesihatan Tekek, Pulau Tioman dinaik taraf pada Februari 2022.

”Jabatan Kesihatan Negeri Pahang dengan sukacitanya ingin memaklumkan bahawa telah menerima kelahiran selamat yang pertama pada 3 November 2023 jam 7.32 pagi.

”Ibu berusia 35 tahun telah melalui proses bersalin anak ketiga pada usia kandungan 36  minggu enam hari dan disambut dengan selamat oleh kakitangan bertugas yang terlatih,” katanya menerusi kenyataan.

Klinik kesihatan itu dinaiktaraf berikutan wanita mengandung di pulau tersebut hanya boleh melahirkan anak di klinik kesihatan di Mersing, Johor kerana ketiadaan pakar perubatan di Pulau Tioman.

Menurut Nor Azimi, bayi lelaki seberat 3.2 kilogram itu merupakan cahaya mata kepada pasangan tempatan di pulau itu yang mana ibunya bekerja di kedai makan manakala bapanya bertugas sebagai operator di sebuah kilang insenerator di Tekek.

Tambah beliau, keadaan ibu dan bayi selepas proses bersalin adalah stabil dan baik yang mana pusat bersalin itu memberi perkhidmatan penjagaan ibu mengandung dan bersalin di Pulau Tioman.

Fasiliti tersebut telah dinaiktaraf dengan kelengkapan peralatan perubatan terkini melalui kurniaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dengan peruntukan sebanyak RM 2.9 juta.

”Perkhabaran gembira ini telah dimaklumkan ke sisi Tuanku dan baginda berkenan mengurniakan sumbangan kepada keluarga dan kepada bayi melalui simpanan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) atas nama bayi tersebut nanti,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Pusat Alternatif Bersalin Pulau Tioman cetusan idea Agong