Antara stok minyak masak bersubsidi yang disimpan di premis yang diserbu KPDN Pahang Rabu lalu

KUANTAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang menahan pengurus syarikat sebuah premis kilang pembungkusan minyak masak di sini kerana disyaki terbabit dalam aktiviti pemalsuan transaksi jualan.

Pengarah KPDN Pahang, Jezlily Jamaluddin berkata, kegiatan tersebut terbongkar hasil serbuan ke kilang tersebut pada pukul 2 petang Rabu lalu.

Hasil pemeriksaan di premis itu menemui minyak masak bersubsidi di dalam tangki simpanan dengan anggaran 4,377.5kg dan 50 kotak minyak masak polibeg 1kg yang telah siap dibungkus seberat 850kg di dalam premis kilang berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, ia bercanggah dengan rekod laporan yang dikemukakan oleh pemilik premis kilang berkenaan kepada KPDN Pahang di mana baki stok terakhir hanyalah sejumlah 1kg.

KPDN Pahang menyerbu sebuah premis kilang Pembungkusan Minyak Masak di sini kerana disyaki terbabit dalam aktiviti pemalsuan transaksi jualan.
Gambar : KPDN Pahang

Selain itu, Jezlily berkata, sebanyak 10 cop perniagaan milik syarikat lain turut ditemui disyaki digunakan untuk memalsukan traksaksi jualan kepada premis berkenaan.

“Siasatan lanjut ke atas beberapa premis berdasarkan nama dan alamat pada cop perniagaan yang dijumpai tersebut mendapati alamat dan jenis perniagaan berkenaan adalah palsu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, KPDN Pahang menyita minyak masak bersubsidi yang disimpan iaitu anggaran sejumlah 5,227.5 kg, cop milik syarikat lain serta beberapa dokumen perniagaan seperti buku stok dan penyata jualan untuk tujuan siasatan.

Menurut Jezlilu, jumlah nilai rampasan bagi minyak masak tersebut adalah sebanyak RM13,068.75.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8(4)(b) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memberi maklumat palsu dan sabit kesalahan boleh didenda hingga RM1,000,000. – MalaysiaGazette