MET Malaysia

KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) telah mendapat maklumat berkenaan kejadian siren Sistem Amaran Awal Tsunami Nasional Malaysia (SAATNM) yang terletak di kawasan Masjid Imam Haji Mustapah, Kota Belud, Sabah telah berbunyi pada awal pagi ini.

Sebagai makluman, MET Malaysia tidak mengeluarkan sebarang amaran atau nasihat tsunami pada masa ini.

Kejadian tersebut dikhuatiri berlaku kerana masalah teknikal dan tindakan sewajarnya sedang diambil, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

MET Malaysia memohon maaf atas sebarang kekeliruan dan kesulitan yang timbul ekoran kejadian itu dan maklumat sahih berkenaan gempa bumi dan tsunami boleh didapati melalui laman web Jabatan Meteorologi Malaysia iaitu www.met.gov.my, aplikasi mobil myCuaca, media sosial rasmi MET Malaysia serta Hotline di talian 1-300-22-1638.- MalaysiaGazette